Ada percanggahan antara Hamidin dan Pan-gon, sasaran rasmi Piala Asia dibuat lepas skuad akhir HM diumum


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Dua kemenangan pada aksi persahabatan pada Jun lalu menjadikan Malaysia naik satu anak tangga ranking ke-137 dunia. — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan sasaran rasmi Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan, sebaik mengesahkan barisan akhir skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan tersebut.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman, berkata, sebelum ini memang terdapat percanggahan sasaran antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Mei lepas yang mahu skuad negara pulang dengan satu mata berbanding ketua jurulatih Kim Pan-gon yang meletakkan sasaran ke pusingan 16 Piala Asia 2023, baru-baru ini.

"Sudah pasti setiap jurulatih mahukan yang terbaik dengan letak sasaran tinggi namun kami akan ulas sasaran selepas pengumuman pemain nanti,” katanya pada sidang media selepas Kongres FAM kali ke-59 di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Malaysia, yang bakal membuat penampilan pertama dalam Piala Asia sejak edisi 2007, diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain di Qatar.

Johan dan naib johan kumpulan, termasuk empat pasukan terbaik di tempat ketiga layak ke peringkat kalah mati.

Pasukan negara tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam ketiga-tiga penampilan di Piala Asia, iaitu di Iran pada 1976, Kuwait (1980) dan ketika menjadi penganjur bersama pada 2007.

kongres

Kongres FAM kali ke-59 di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. — Facebook/FAM

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan kongres bersetuju membuat pindaan statut bahawa ahli eksekutif hanya boleh menyandang jawatan maksimum selama tiga penggal manakala dua perwakilan daripada setiap persatuan negeri hanya boleh menghantar satu undi sahaja.

"Perubahan besar dibuat selaras dengan hasrat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu persatuan ubah statut (undian),” katanya.

Mohd Yusoff juga mengumumkan lanjutan kerjasama antara FAM dan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk tempoh tiga lagi tahun bermula Januari 2024-Disember 2026 susulan perjanjian tiga tahun sebelum ini bakal berakhir pada 31 Disember ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell berpendapat adalah lebih baik untuk badan induk itu mengendalikan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi memantau perkembangan barisan pemain muda negara.

Saranan itu dilontarkan susulan prestasi hambar skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara dalam saingan Piala Asia B-17 apabila gagal melepasi peringkat kumpulan serta sasaran empat pasukan terbaik pada saingan tersebut di Bangkok, bulan lalu.

Malaysia menduduki tempat ketiga dengan tiga mata dalam Kumpulan A di belakang Thailand dan Yaman manakala Laos menamatkan cabaran di tempat terakhir.

"Adalah tidak masuk akal badan induk kebangsaan di Malaysia tidak mempunyai kawalan ke atas pembangunan pemain.

"Ia bukan kritikan kepada program NFDP tetapi selain prestasi skuad kebangsaan, FAM juga harus bertanggungjawab terhadap pembangunan pemain,” katanya. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram