Gagal kemuka borang KWSP, Kelantan FC terima padah kena sekatan perpindahan


  • Podium
  • Isnin, 03 Jul 2023

Hukuman berkenaan menyaksikan skuad TRW semakin terjerat untuk baki musim 2023. — Facebook/TRW Kelantan FC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa pasukan tercorot Liga Super 2023, Kelantan FC bakal dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua yang dibuka pada Rabu.

Menurut badan pengurusan bola sepak itu, “First Instance Body” (FIB) memaklumkan bahawa kelab Pantai Timur berkenaan dihukum atas kegagalan menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, pasukan berkenaan juga berdepan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC pada 28 Jun 2023 dan 30 Jun 2023.

Ini adalah hukuman berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan aduan kes-kes lain.

WhatsApp Image 2023-07-03 at 17.58.52

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. Facebook/FAM

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Jawatankuasa FIB memandang serius mengenai isu berkenaan dan tindakan terpaksa diambil selepas Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh yang diberikan.

“Pihak FIB masih tidak menerima sebarang bukti bayaran ansuran KWSP (bayaran ansuran pertama) dan bukti bayaran gaji penuh pemain serta pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC.

“Oleh kerana kegagalan Kelantan FC memberikan bukti bayaran tersebut, maka dengan ini hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua dijatuhkan dengan serta merta,” katanya.

Hukuman sekatan perpindahan pemain ini akan ditarik semula sekiranya Kelantan FC berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP, gaji pemain dan pegawai sebelum jendela kedua berakhir pada 1 Ogos 2023.

Bagaimanapun tindakan untuk menarik semula sekatan itu juga perlu mengambil kira keputusan FAM dan FIFA berkenaan kes lain melibatkan Kelantan FC. MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram