Suasana pilu selubungi lokasi tragedi kepala air, 7 lagi mangsa ditemukan


  • 112
  • Isnin, 03 Jul 2023

Anggota pasukan penyelamat mengusung mayat dipercayai kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih di Sungai Teladas, Maran, Pahang pada Isnin. — Bernama

SEBANYAK tujuh lagi mayat mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di sini berjaya ditemukan hari ini, menjadikan keseluruhan sembilan mayat mangsa telah dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) setakat ini.

Satu daripada mayat itu disahkan identitinya sebagai Muhammad Haziq Ziqree Karim berusia enam tahun, manakala satu lagi mangsa masih hilang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua tujuh mayat berkenaan ditemukan di sektor A dan B di kawasan seluas 25 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

"Kesemua mereka ditemukan antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari tadi dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok, terapung di permukaan air dan di pinggir sungai.

"Keseluruhannya, dua mayat lelaki dewasa, satu wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditemukan hari ini. Bagaimanapun, enam daripada mereka masih belum dapat disahkan identiti," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, Chukai, Terengganu pada Isnin.

Menurutnya setakat ini, kawasan pencarian telah meliputi sebanyak 25 km daripada keseluruhan jangkaan 32 km radius operasi SAR.

Mazli berkata, keadaan cuaca yang baik dengan arus sungai yang semakin perlahan membantu memudahkan operasi pencarian yang kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa.

Pada Ahad, media melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya adalah sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang manakala seorang lelaki dari Batu Pahat, Johor dipercayai tunang kepada seorang daripada ahli keluarga itu telah datang ke Jeram Air Putih untuk berkelah pada Sabtu, sebelum dihanyutkan arus deras fenomena itu.

Dua mayat pertama telah ditemukan orang ramai tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram