PERTEMBUNGAN Liga Super Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri pada Isnin dilihat sebagai raptai untuk perlawanan akhir Piala FA kedua-dua pasukan.
Pengendali skuad The City Boys, Bojan Hodak memberikan cabaran kepada anak-anak buahnya untuk bersaing menuntut tempat kesebelasan pertama di final Piala FA dengan persembahan mengagumkan di sarang Harimau Selatan pada Isnin.
Jika itu tidak cukup bermotivasi, KL juga bersemangat untuk menebus kekalahan 0-3 kepada JDT dalam pertemuan liga pertama mereka di Stadium Bola Sepak Cheras pada 1 Mac.
Hodak berkata, perlawanan akhir Piala FA mungkin masih berbaki lebih dua minggu lagi tetapi pertarungan dalam kalangan pemain untuk mendapatkan tempat permulaan untuk pentas final tersebut akan bermula malam ini.
“Pemain perlu mula membuktikan diri mereka, untuk menunjukkan bahawa mereka berbaloi untuk berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan akhir Piala FA. Mereka bermotivasi untuk membuat kejutan menentang JDT.
"Tetapi perlawanan malam ini bukan satu-satunya perlawanan yang mana mereka perlu menarik perhatian. Kami masih mempunyai perlawanan liga menentang Terengganu (7 Julai) dan Negeri Sembilan (15 Julai) sebelum perlawanan akhir Piala FA. Pemain mesti konsisten dan juga beraksi dengan baik dalam dua perlawanan itu untuk mendapatkan tempat mereka," kata pengendali dari Croatia itu.
Sekitar sesi latihan Warga Kota sebagai persiapan menentang JDT pada malam ini. — Facebook/KLCity
KL City bertandang ke Johor tanpa beberapa pemain tetap yang terpaksa diketepikan akibat penggantungan dan kecederaan.
Pasangan kembar Lambert; Declan dan Ryan; Giancarlo Gallifuoco, Sebastian Avanzini dan penjaga gol Kevin Ray Mendoza tidak akan beraksi malam ini.
Hodak berkata, dengan situasi menimpa beberapa tonggak tersebut, pemain yang jarang bermain dan mereka yang pulih daripada kecederaan akan mendapat peluang untuk bermain.
“Ini memberi lebih ramai pemain peluang untuk bertarung untuk kesebelasan utama bagi perlawanan akhir Piala FA," tambahnya.
Beberapa pemain yang dijangka merebut kesebelasan utama ialah penyerang Haqimi Azim Rosli dan J. Partiban, dan pemain pertahanan, Khair Jones.
Ketiga-tiga mereka bergelut untuk mendapatkan lebih banyak masa bermain akibat kecederaan dan tiga perlawanan seterusnya memberi mereka peluang untuk mengukuhkan tempat dalam perlawanan akhir Piala FA.
“Tahun lalu, terlalu banyak perkara yang berlaku kepada Haqimi kerana dia bermain untuk kami dan juga pasukan kebangsaan.
"Dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Dia bekerja lebih baik dalam latihan sekarang, dan begitu juga dengan Partiban dan Khair," ujar bekas pengendali Harimau Selatan itu.
KL City kini berada di tempat keenam liga dengan 23 mata manakala JDT, yang mencatat rekod 100 peratus kemenangan selepas 14 perlawanan, kekal di puncak dengan 42 mata. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram