NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
IA mungkin loteri yang dimenangi Kuala Lumpur City FC (KLC FC) dalam penentuan penalti separuh akhir Piala FA malam tadi tapi ramai yang berkongsi di Twitter betapa ketua jurulatihnya, Bojan Hodak, layak digelar seorang ‘genius’ dalam merancang kemenangan mereka.
Tiga kemaraan berturut-turut ke final piala – didahului Piala Malaysia pada 2021 dan Piala AFC tahun lalu – harus turut mendorong ramai yang percaya skuad Warga Kota itu memiliki tuah yang boleh berpanjangan ke final Piala FA, 22 Julai nanti.
Dikongsikan perkara itu, Hodak, bagaimanapun, ketawa besar dan tidak lemas dalam pelbagai pujian yang tidak henti-henti diterimanya, baik menerusi pesanan WhatsApp mahupun panggilan, termasuk dari sejauh negara asalnya, Croatia.
Kebetulan, aksi separuh akhir pada Ahad itu menemukan dua warga Croatia sebagai ketua jurulatih di pihak berlawanan, dengan Tomi Steinbruckner dan skuad Sang Penyu kendaliannya gagal merealisasikan gurauannya untuk pertemuan Terengganu FC-Selangor FC dalam final kelak.
“Bohonglah kalau saya tak gembira dengan kemenangan terbaru kami ini tapi pujian-pujian tidak terlalu memberi kesan kepada saya.
“Biasalah... jika pasukan anda menang aksi kalah mati dalam saingan piala seperti ini, tambahan pula di tempat lawan, akan ada yang menggelarkan anda genius, perancang utama (mastermind) dan yang seumpamanya.
“Tapi bila anda kalah kepada lawan yang di bawah pasukan anda (dalam carta liga), atas apa pun alasannya termasuk ada ramai pemain utama yang cedera, anda hendaklah bersedia untuk digelar badut.
“Sehingga ke hari ini pun, apabila pasukan saya meraih satu rentetan keputusan cemerlang, saya tidak tahu sama ada ia adalah kerana saya bagus sebagai seorang jurulatih atau pasukan saya yang memang bertuah,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
Gallifuoco menjadi wira KL City apabila melengkapkan penalti kemenangan skuad Warga Kota. — Facebook/KL City FC
Dalam gurauannya sendiri, Bojan berkata pasukannya memerlukan 'dua hari' untuk mengatasi saingan Terengganu FC, dengan kebuntuan gol selepas 120 minit membawa kepada penentuan sepakan penalti yang berlanjutan sejurus selepas tengah malam yang kesudahannya dimenangi pasukan pelawat itu 4-2.
“Saya beritahu pemain-pemain saya sehari sebelum perlawanan yang kami akan menang dalam penentuan penalti. Anda mungkin kata saya bercakap begitu selepas kami menang tapi tanyalah sendiri kepada pemain-pemain.
“Ini dah kali ketiga kami bermain menentang Terengganu. Sama seperti satu perlawanan persahabatan pada pramusim, perlawanan liga (5 Mac lalu) dan aksi separuh akhir ini, semuanya berkesudahan 0-0. Kami tahu ia perlawanan yang sukar menentang mereka,” katanya.
Berbanding rakan sejawatannya, Steinbruckner, yang mendedahkan tiga pemainnya enggan mengambil tugas dalam sepakan penalti berkenaan, Bojan berkata, dia hanya perlu memilih cuma seorang kerana empat yang lain – Paulo Josue, Romel Morales, Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuoco – adalah ‘regular’ dari tahun lalu lagi.
Pemain pertahanan kelahiran Croatia, Matko Zirdum, gagal dalam giliran pengambil sepakan penalti keempat buat KLC FC untuk kedudukan 3-2 tapi mujur Liridon Krasniqi selepasnya turut gagal.
Kesudahannya terserah kepada Gallifuoco untuk menyudahkan sepakan kelima bagi keputusan 4-2.
“Matko sangat kecewa tapi kesudahannya lega. Ia seperti tidak adil untuknya gagal dalam sepakan penaltinya kerana dia telah beraksi dengan sangat baik sepanjang 120 minit untuk menggagalkan serangan Terengganu.
“Malah, apabila sepakan penalti Matko gagal, saya tidak berasa apa-apa kerana masih percaya yang kami akan layak ke final,” tambahnya.
Azim (tengah) berjaya menepis dua kali sepakan penalti pemain Terengganu. — Facebook/KL City FC
Bojan turut menghamburkan pujian kepada penjaga gol berusia 21 tahun, Azim Al Amin Kamaruddin – pilihan ketiga selepas Kevin Mendoza dan Azri Ghani yang lebih berpengalaman – bukan hanya kerana menggagalkan dua sepakan penalti lawan, malah turut cemerlang ketika permainan sebenar.
“Saya turut ditanya (beberapa pemain) mengenai pilihan saya menurunkan Azim berbanding Azri. Oleh kerana Azim bermain ketika menentang Imigresen dan Sabah FC dalam perlawanan Piala FA sebelumnya, saya kekalkan dia. Pilihan saya tidak silap dan Azri juga berkongsi gembira,” ujarnya.
Bojan berkongsi yang keyakinannya dalam penentuan sepakan penalti turut bersandarkan kepada kejayaan sepanjang dua atau tiga tahun kebelakangan.
Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Melaka United pada 2021 menyaksikan kedudukan agregat terikat 2-2 selepas masa tambahan sebelum KLC FC menang 5-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi yang turut berlanjutan 'dua hari'.
Dua perlawanan dalam kempen Piala AFC tahun lalu pula menyaksikan skuad Warga Kota itu menang penentuan sepakan penalti 6-5 ke atas Viettel FC (Vietnam) dalam separuh akhir peringkat zon dan 5-3 ke atas kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh, dalam final play-off antara zon.
“Bagi sebuah kelab berbajet kecil seperti KLC, kami akan berhempas-pulas apabila kehilangan khidmat beberapa pemain utama disebabkan kecederaan di dalam liga.
“Kerana itu juga, kami lebih cenderung kepada saingan kalah mati seperti Piala FA ini di mana kami boleh berhabis-habisan dalam satu perlawanan.
“Apapun, ia tidak mengubah kami sebagai sebuah pasukan kecil. Dan apabila anda kecil, setiap pemain menyokong sesama sendiri umpama sebuah keluarga dan perpaduan antara ahli keluarga sangat kuat.
“Tambahan pula apabila bajet terhad, saya lebih memilih pemain yang memiliki karakter. Dalam perlawanan-perlawanan sukar, pemain-pemain yang memiliki karakter yang boleh memenangkan anda,” katanya.
Skuad Warga Kota meraikan kemenangan bersama penyokong setia mereka. — Facebook/KL City FC
Dengan tempat dalam final Piala FA sudah terjamin, apakah Bojan melihat pasukan ‘kecil’ yang dikendalikannya berpeluang mencipta nama sebagai juara?
“Apa saja boleh berlaku dalam saingan piala, lagipun kami masih mempunyai kira-kira sebulan untuk mempersiapkan diri di samping perlu mengharungi tiga perlawanan liga lebih dahulu.
“Seperti yang saya katakan, saya masih keliru sama ada saya jurulatih yang bagus atau pasukan saya yang bertuah.
“Tapi saya tahu kami tidak akan kekurangan sokongan dan doa peminat dalam final nanti,” katanya semacam berkias. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram