PERPINDAHAN penyerang berbisa, Liga Malaysia (Liga M), Ifedayo Olusegun ke Kedah Darul Aman (KDA) FC memberi seribu satu harapan buat pasukan berpangkalan di Utara tanah air untuk menyaksikan Sang Kenari boleh memberikan saingan kepada pesaing Liga Super.
Masakan tidak, Ifedayo merupakan salah seorang penyerang prolifik Liga M yang mana dia dinobatkan pemenang Kasut Emas bagi dua tahun berturut-turut iaitu penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol bersama Selangor FC.
Oleh itu, tidak menghairankan jika ramai berpendapat Ifedayo merupakan pembelian berbaloi buat pasukan Hijau Kuning dan perkara tersebut juga dipersetujui oleh legenda jurulatih KDA FC, Azraai Khor Abdullah.
Dalam satu laporan dari Stadium Astro, pengendali berpengalaman Liga M itu menyambut baik tindakan pihak pengurusan kedah untuk menandatangani Ifedayo menjelang jendela perpindahan pemain yang bakal dibuka 5 Julai ini.
Selain Azraai, bekas kapten Kedah, Syazwan Zainon juga teruja untuk menyaksikan bekas pemain Melaka United itu mempertajamkan jentera serangan Sang Kenari bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.
Menurutnya, pemain berusia 32 tahun itu pasti tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dan mendapatkan semula prestasinya walaupun sebelum ini Ifedayo berstatus ejen bebas selama enam bulan.
Syazwan kini beraksi bersama skaud Kijang Hijau. — Facebook/KUFC
“Kita tahu ifedayo bekas penjaring terbanyak Liga Super, jadi kita tak boleh nafikan ketajaman dia di hadapan gol. Saya rasa itu memang langkah terbaik Kedah. Pengganti ideal untuk gantikan Lira.
“Sebagai pemain bola, kita sentiasa mengharapkan preetasi terbaik. Mungkin dia tiada masalah nak dapatkan prestasi walaupun dah agak lama free agent. Dengan pemain KDA FC sedia ada pasti membantu ifedayo nanti.
“Kita tak tahu jika dia tak bermain mungkin selama enam bulan. Jadi nak bercakap lebih susah tapi jika tengok rekod sebelum ini, terbukti dia memang penyerang berbahaya,” katanya kepada Majoriti.
Kali terakhir bekas penyerang Felda United itu beraksi dalam kelab bola sepak ialah ketika bersama Melaka United pada musim 2022 namun kemelut tunggakan gaji menyebabkan Ifedayo tidak lagi bersama skuad Hang Tuah.
Ifedayo diumumkan sebagai penyerang baharu pada hujung bulan Jun. — Facebook/KDAFC
Dalam pada itu, tonggak Kelantan United FC (KUFC) tersebut juga sempat berkongsi sikap dalam dan luar padang Ifedayo sepanjang beraksi bersama di Selangor FC pada musim 2019-2020.
“Bagi saya dia (Ifedayo) jenis yang cukup akrab dengan pemain lain. Dia jenis happy go lucky. Dalam padang mungkin sedikit serius tapi luar padang memang dia jenis yang riang. Dia memang tiada masalah ke Kedah, dia boleh masuk dengan masuk,” tambahnya.
Ifedayo yang mempunyai kerakyatan Bahrain itu dijangka membuat penampilannya sulungnya di tempat lawan pada aksi menentang PDRM FC, 9 Julai ini.
Selain Ifedayo, Kedah juga KDA turut mengumumkan Moses Atede Jona yang berasal dari Kaduna, Nigeria akan menguatkan jentera tengah pasukan bagi menghadapi baki saingan liga.
Pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kerakyatan Bahrain dan akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram