
KELANTAN United FC (KUFC) pada Jun lalu membawa perubahan besar dalam skuadnya dengan melantik Ailton Dos Santos Silva sebagai ketua jurulatih baharu Sang Kijang Hijau bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim 2023.
Kehadiran pengendali dari Brazil itu adalah bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tomas Trucha yang kini dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan pembangunan bawah 23 (B-23) tahun bagi persaingan Piala MFL.
Ketua jurulatih berusia 56 tahun itu bukanlah nama asing dalam saingan Liga Thailand yang mana ketika bersama Chiangrai United, Ailton berjaya memacu kelab tersebut muncul juara pada musim 2019 sehingga dinobatkan sebagai pengendali terbaik pada musim berkenaan.
Meskipun ujian pertama Ailton di saingan Liga Super tidak memihak kepada skuad Kijang Hijau apabila pasukan tersebut tewas 0-3 di tangan Sabah FC pada 26 Jun lalu namun ia bukan alasan untuk menilai prestasinya lagi.
Seperti yang dikongsikan oleh tonggak tengah KUFC, Syazwan Zainon, Ailton membawa perubahan baharu dengan menerapkan taktikal berlainan di sesi latihan skuad Kijang Hijau.
Ailton merupakan pengendali yang disegani di Liga Thailand. — Facebook/KUFC
“Setakat ini nampak perubahan dalam latihan sebab coach (Ailton) baru tu ada terapkan latihan short pass tapi mungkin sekarang kami tak dapat nak adapt lagi dalam perlawanan.
“Tapi dengan kemasukan beberapa pemain baharu, kami mengharapkan ada perubahanlah dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada Majoriti.
Syazwan juga sempat berkongsi bahawa barisan tonggak baharu juga kelihatan tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan secara perlahan membina keserasian dalam kalangan barisan pemain sedia ada.
Setakat ini, dua pemain sudah diumumkan iaitu penyerang, Ismaheel Akinade dan penjaga gol, Shahril Saa'ri dan kini Kelantan United masih menunggu tiga lagi pemain baharu bagi memperkuat bahagian pertahan dan tengah.
Dalam pada itu, menjelang aksi menentang Perak FC, pemain berusia 33 tahun tersebut juga berhasrat untuk cuba mendapatkan tiga mata penuh dan sekali gus meraih kemenangan kedua pada saingan Liga Super musim ini.
Syazwan merekodkan dua jaringan dari 11 perlawanan dia diturunkan bersama KUFC. — Facebook/KUFC
Mengulas lanjut, Syazwan juga yakin bahawa rakan sepasukannya akan kekal memberi komitmen penuh walaupun ada yang mengatakan KUFC diramal menang mudah ke atas Perak FC susulan masalah prestasi melanda kem The Bos Gaurus kini.
“Untuk perlawanan Perak FC, sesiapa pun yang akan diturunkan diberi kepercayaan oleh coach perlu beri 100 peratus dan cuba dapatkan tiga mata. Walaupun Perak duduk di atas KUFC tetapi kita kena buat yang terbaik.
“Kita nak cakap dapat ambil kesempatan ke atas Perak FC pun susah sebab dalam bola ini tiada yang mustahil. Kita tengok Perak ada masalah sama macam KUFC. Tapi kalau tengok dari permainan, mereka beraksi dengan cukup baik,” tambahnya.
Skuad Kjiang Hijau akan bertandang ke laman Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 7 Julai ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram