TONY Netto disebut sebagai antara jurulatih bola sepak paling berjaya di Perak dengan kejayaannya memimpin pasukan itu sehingga merangkul kejuaraan liga pada tahun 2002 dan 2003.
Skuad Seladang juga mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada kedua-dua tahun tersebut, namun tewas pada lawan yang sama iaitu Sabah.
Bagi saingan Piala FA pula, Netto atau nama sebenarnya, Antonio Gonzaga Netto berhasil membawa anak-anak buahnya ke pentas akhir sebanyak dua kali.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas di tangan Pulau Pinang pada tahun 2002 dengan keputusan 1-0 melalui jaringan Gustavo Romero dan mara ke suku akhir pada tahun berikutnya.
Percaturan yang dibuat jurulatih dari Brazil itu menjadi setelah pasukannya berjaya diangkat sebagai juara pada tahun 2004 setelah menewaskan Terengganu 3-0.
Kedua-dua perlawanan akhir tersebut berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keratan akhbar sewaktu Netto mengendalikan skuad Seladang bermula 2002 hingga 2005. — Facebook/Silver Retro
Sebelum berpisah, jurulatih yang kini berusia 81 tahun itu masih sempat menghadiahkan penyokong Seladang dengan trofi Piala Sumbangsih pada tahun 2005, selepas Perak menewaskan Perlis di Kangar.
Atas jasanya terhadap kejayaan yang dikecapi pasukan bola sepak Perak, dia pernah menerima anugerah Paduka Mahkota Perak daripada Sultan Perak, Raja Azlan Shah pada tahun 2005.
Selepas kontraknya bersama Perak FC ditamatkan pada tahun 2005, dia kemudian beralih destinasi menguruskan kelab Persipura Jaya pada awal 2006.
Selepas kontraknya bersama Perak FC ditamatkan pada tahun 2005, dia menguruskan kelab Persipura Jaya pada awal 2006. — Facebook/Silver Retro
Bagi laman penyokong Perak FC, Silver Retro, kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya menepis tanggapan pemerhati bola sepak yang menganggap jurulatih Brazil tidak sesuai dengan suasana liga di Malaysia.
Padangan itu dibuat susulan kegagalan bekas penyerang Newcastle United Miradinha mengemudi Sang Kenari ketika menjadi jurulatih Kedah, dengan pasukan itu terperosok di tangga kelapan liga, dan Jorvan Viera selaku pengendali skuad Malaysia bawah 20 tahun (B-20) pada 2002.
Rata-rata peminat tegar pasukan itu juga memang tidak menafikan pasukan kesayangan mereka pernah berada di puncak kegemilangannya semasa berada di bawah kendalian Netto.
“Masa ini keseluruhan dalam Perak FA memang terbaik. Kalau bertemu dengan Perak pasukan lawan memang akan kena gol ke atas,” kata Zakawi Ishak.
“Satu-satunya jurulatih yang membawa team dalam Liga Perdana dengan merangkul dua kali kejuaraan berturut-turut. Team lain mana ada dapat dua kali berturut-turut. Memang syok game play daripada Netto ni,” tulis Ajiebs German.
“Masa ini seronok tengok game Perak. Kalah pun puas hati sebab perlawanan cantik dan nampak pattern game play,” ujar Insan Kerdil.
“(Netto) pernah dapat gelaran Jurulatih Luar Terbaik Brazil ketika mengemudi Perak,” kata Amir Ben Ali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram