SKUAD The Bos Gaurus (TBG) dilihat tidak mensia-siakan peluang untuk membawa masuk tonggak baharu menerusi jendela perpindahan kedua yang bakal dibuka bermula 12 Julai ini.
Sebelum ini, Perak FC mengesahkan berjaya merekrut pemain pertahanan import, Jesper Gunnar Fernando Nyholm.
Kehadiran pemain kelahiran Sweden itu diharapkan mampu membantu ketua jurulatih, Yusri Che Lah dalam menambah kekuatan di jentera pertahanan selepas gawang pasukan dibolosi sebanyak 34 gol.
Terbaharu, desas desus kemasukan bekas tonggak import Sabah FC, Luka Milunovic ke skuad Seladang juga mendapat perhatian ramai.
Pemain tengah kelab Radnicki itu dilaporkan sedang menjadi buruan skuad TBG bagi membantu mereka mengharungi baki saingan Liga Super.
Tangkap layar hantaran di Instagram palatao_bola pada Sabtu.
Menerusi hantaran di laman Instagram palatao_bola pada Sabtu, pemain itu difahamkan akan mengubah destinasinya ke Perak pada jendela perpindahan nanti.
“Hanya tunggu pengumuman. Luka Milunovic hampir pasti ke Perak. Bek kiri Kuching, Qayyum Marjoni akan dipinjamkan ke Kelantan United,” menurutnya.
Milunovic bukan nama yang asing dalam dunia bola sepak tanah air kerana pengalamannya sebelum ini bersama Melaka United pada 2019 sebelum dipinjamkan ke Sabah FA ketika perpindahan kedua tahun tersebut.
Meskipun hanya semusim dan tidak begitu menjadi ketika bersama kedua-dua pasukan itu, namun pemain berusia 30 tahun tersebut masih berjaya meledak 10 jaringan dalam 21 penampilan pada saingan Liga Super.
Milunovic dipinjamkan dari Melaka ke Sabah FA pada jendela perpindahan kedua musim 2019. — Facebook/Melaka FC
Pemain berketinggian 1.81 meter itu juga sebelum ini pernah bermain sehingga ke peringkat Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Melihat prestasi kelab yang agak merosot ketika ini, pastinya Yusri Che Lah memerlukan sinar baharu untuk bangkit dalam menempuh musim baharu saingan Liga Super.
Untuk rekod, Perak FC ketika ini hanya mampu menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan 10 kekalahan selepas mengharungi 15 perlawanan.
Tidak hairanlah, peminat Sang Seladang pastinya mahu menyaksikan pasukan kesayangan mereka melakukan rombakan secara besar-besaran dalam jendela perpindahan nanti bagi mengembalikan semula prestasi pasukan ke tahap yang lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram