Import baharu Selangor ada idea hentikan dominasi JDT


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Boakye sah menjadi rekrut pertama Selangor FC untuk jendela perpindahan kedua musim ini. — Facebook/Selangor FC

KEHADIRAN penyerang import baharu, Boakye Yiadom, dijangka mampu menawarkan variasi dalam jentera serangan Selangor FC, lapor Stadium Astro.

Bagi pemain kelahiran Ghana itu, jaguh Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Johor Darul Takzim (JDT) menjadi sasaran utama buatnya untuk ditundukkan dalam musim ini.

"JDT mengalahkan kami 0-4, saya menonton perlawanan terbabit. Kami hanya melakukan satu atau dua kesilapan dan bermain babak kedua dengan cukup baik.

"Ada jurang kecil yang membolehkan mereka menewaskan kami jadi saya gemar pertemuan seperti ini memandangkan apabila menjaringkan gol dan menang ke atas pasukan besar seperti ini (JDT), saya akan berasa cukup puas apabila pulang," katanya.

Dalam masa sama, ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe, tidak menolak kemungkinan memperkasakan benteng pertahanan melalui kelibat pemain import.

Dia enggan lagi mengenang episod kegagalan dalam Piala FA dan ingin memberi fokus 100 peratus menyambung baki saingan Liga Super musim ini apabila bertemu Kuching City Isnin depan.

"Kami perlu lupakan kekalahan kepada JDT, kami perlu melihat ke sudut positif yang positif.

"Kami kena (buat) persediaan terbaik untuk menghadap Kuching City kerana kami fokus kami adalah kedudukan kedua liga," katanya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram