Ifedayo pasang cita-cita istimewa bersama Kedah


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Ifedayo diharapkan mampu mengulangi pencapaiannya bersama skuad Hijau Kuning. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

REKRUT baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun memasang hasrat untuk mencipta memori indah bersama kelab Utara tanah air itu selepas mengesahkan kehadirannya hujung Jun lalu.

Meskipun dia kini sudah mencecah usia 32 tahun, pemain berkenaan dilihat masih boleh memberikan impak buat pasukan itu dengan pengalamannya dalam Liga Super sebelum ini.

Sejak dilepaskan Melaka United pada penghujung musim lalu, Ifedayo tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan sebelum skuad Sang Kenari menawarkan kontrak kepadanya.

Jadi, untuk membalas budi tersebut, bekas pemain Selangor FC itu memasang cita-cita untuk menjulang trofi dengan ia boleh dikatakan misi peribadinya.

"Saya mempunyai hasrat untuk memenangi trofi dengan Kedah kerana saya masih belum menjulang apa-apa kejayaan di Malaysia. Saya juga berharap agar saya dapat lakukannya di sini.

"Saya mahu menikmati bola sepak di Kedah dan memberikan 100 peratus buat pasukan. Kami akan mempunyai satu musim yang berwarna-warni sambil cuba untuk mencipta kejayaan," katanya.

Tambahnya, kestabilan pihak pengurusan serta penyokong yang ghairah dalam setiap perlawanan sudah cukup buatnya memilih untuk menyertai kelab itu.

Ia dapat dibuktikan apabila laman Instagram peribadinya dibanjiri pengikut dari Kedah ketika pengumuman dibuat KDA FC mengenai kehadirannya.

"Penyokong dari negeri ini cukup hebat, jadi saya amat teruja untuk bermain di sini. Saya tidak sabar untuk diberi peluang di atas padang," katanya lagi.

Ketika ini, skuad Sang Kenari berada di tangga keempat hasil kutipan 28 mata dengan 29 gol sudah dijaringkan pasukan itu selepas 14 perlawanan.

Ifedayo difahamkan akan diberikan kebenaran untuk beraksi selepas jendela perpindahan kedua dibuka dengan aksi Liga Super menentang PDRM FC pada 9 Julai dilihat sebagai peluangnya untuk mencipta debut. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram