SELANGOR sememangnya ingin memberikan saingan sengit pada pusingan kedua apabila memutuskan untuk menambah lagi sengat di serangan mereka dengan menandatangani penyerang antarabangsa, Richmond Boakye dari Ghana walaupun sudah mempunyai pemain utama yang kuat Colombia, Ayron Del Valle.
Boakye yang berusia 30 tahun itu bukanlah pemain biasa susulan dia datang dengan kelayakan yang kukuh dan pernah bermain di beberapa liga teratas di dunia.
Penyerang itu pernah bermain dalam Liga Itali untuk pasukan seperti Juventus, Sassuolo, Atalanta dan Genoa.
Manakala, dalam Liga Sepanyol pula dia pernah bermain untuk Elche yang mana Boakye menjaringkan gol ketika menentang Real Madrid.
Di Serbia, dia membintangi Red Star Belgrade dengan membantu pasukan itu memenangi kejuaraan liga sebanyak empat kali dari 2017 hingga 2021, dan merangkul gelaran Pemain Terbaik kelab itu pada 2017.
Bersama pasukan Ghana pula, Boakye pernah mewakili negaranya 19 kali, menjaringkan tujuh gol dan merupakan sebahagian daripada pasukan Bawah 20 (B-20).
Tonggak berketinggian 1.86 merter itu membantu negaranya menduduki tempat ketiga dalam Piala Dunia Bawah 20 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2013.
Boakye melengkapkan sembilan pemain import skuad The Red Giant dan akan tersedia untuk pemilihan selepas 5 Julai, apabila jendela perpindahan kedua dibuka.
Sebelum menyarung jersi Selango FC, Boakye beraksi bersama kelab Libya, Al-Akhdar SC. — Facebook/SelangorFC
Difahamkan Boakye boleh bermain untuk Selangor ketika pasukannya itu menentang Pahang di Stadium Darul Makmur di Kuantan pada 9 Julai.
Dia dijangka membentuk gandingan mantap dengan Del Valle, yang sudah menjaringkan 13 gol dan membuat tiga bantuan dalam hanya 14 perlawanan liga.
Sasaran Boakye kini adalah mahu membantu Selangor menduduki dua teratas liga dan layak ke peringkat kejohanan Asia pada musim depan.
“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh dan komited sepenuhnya untuk menang bersama pasukan.
“Tiada pasukan tanpa peminat. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripadanya. Saya mahu mencipta sejarah dan mencipta legasi.
“Saya juga berhasrat untuk membuka jalan kepada pemain lain dari Ghana dan Afrika untuk mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain di sini,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Tan Cheng Hoe berkata, pembelian Boakye akan meningkatkan cabaran mereka dalam liga dan Piala Malaysia bermula Ogos.
“Kami telah menandatangani Boakye kerana kami memerlukan lebih banyak pilihan dalam serangan. Pengalamannya di luar negara akan membantu pasukan beraksi lebih baik berbanding sebelum ini.
“Dia akan menjadi contoh yang baik, terutama kepada pemain muda, dalam cara dia menguruskan dirinya.
“Saya harap dia akan menyesuaikan diri dengan baik di sini (Selangor) tidak lama lagi. Walaupun dia menyertai pasukan pada pertengahan musim, yang boleh mencabar, saya yakin dia akan cemerlang,” kata pengendali itu.
Selangor kini berada di kedudukan kedua dengan 31 mata dalam liga. — The Star/T.Avineshwaran
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram