Dikhabar bakal ke Darul Aman, Kedah mungkin sukar sambar penyerang sayap Kelantan


  • Podium
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Fazrul Amir (kiri) merekodkan dua gol dan satu hantaran bantuan dalam 13 perlawanan Liga Super sepanjang dia diturunkan. — Facebook/TRW

KEDAH Darul Aman (KDA) FC minggu ini memberi kejutan kepada penyokongnya apabila mengumumkan dua pemain baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede sempena jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan depan.

Namun perancangan Sang Kenari untuk menjadi pesaing di pusingan kedua masih berjalan apabila pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menyatakan hasrat untuk membawa masuk dua lagi pemain tempatan.

“Kalau ada rezeki, KDA FC juga akan mendapat lagi seorang hingga dua pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan yang bermula bulan depan,” katanya menerusi laman Facebook.

Susulan hantaran daripada usahawan tanah air itu, pelbagai nama pemain daripada kelab Liga Super mula menjadi sebutan dan antara yang dinantikan ialah pemain kelahiran Kelantan, Fazrul Amir Zaman.

WhatsApp Image 2023-06-30 at 14.48.14-2

Fazrul Amir menyertai Kelantan FC pada jendela perpindahan musim lalu. — Facebook/TRW

Sebelum ini, tonggak pasukan Pantai Timur itu difahamkan akan menyertai skuad kendalian Nafuzi Zain dan khabar angin tersebut diperkukuhkan lagi dengan masalah dalaman membelenggu Kelantan.

Angkara masalah tunggakan gaji menimpa kem TRW, ramai pemain Kelantan memilih untuk angkat kaki dan mencari majikan baharu, Fazrul Amir turut tidak terkecuali dikhabarkan akan menyertai kelab baharu.

Namun impian penyokong Hijau Kuning untuk menyaksikan penyerang sayap kiri itu menyarung jersi KDA mungkin tidak akan menjadi kenyataan selepas satu laporan mengatakan TRW masih memerlukan khidmatnya.

Perkara itu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi di laman Twitter miliknya.

WhatsApp Image 2023-06-30 at 14.48.15

Tangkap layar ciapan dari Fadhirul Shuhaimi.

“Hasrat penyokong Kedah untuk lihat kelibat Fazrul Amir sarung jersi Hijau Kuning musim ini kian tipis apabila difahamkan pengurusan TRW masih memerlukan khidmat pemain lincah tersebut.

“Segalanya masih belum muktamad sehinggalah jendela perpindahan ditutup pada 1 Ogos depan,” tulisnya.

Kehadiran pemain muda itu dikatakan sebagai back-up pemain sayap Sang Kenari, Fayadh Zulkifli yang kurang memberikan persembahan memuaskan pada musim ini.

Musim ini, pemain berusia 23 tahun itu merekodkan dua gol dan satu hantaran bantuan dalam 13 perlawanan Liga Super dia diturunkan.

Selain KDA FC, ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad turut mengintai Fazrul Amir untuk dibawa masuk ke Tok Gajah pada jendela perpindahan Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram