Fans Tok Gajah kecewa Ifedayo ke Kedah, idam 'King Dayo' gandingan Kpah di Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Ifedayo antara salah seorang pemain yang dibawa Kedah menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. — Facebook/KDA FC

PENYOKONG Sri Pahang FC tampak kecewa dengan pengumuman Ifedayo Olesegun yang menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Rabu.

Ia disebabkan pihak pengurusan Sri Pahang FC masih belum mengumumkan pemain import baharu untuk bergandingan dengan Kpah Sherman di barisan hadapan.

Meskipun membawa masuk Lucas Silva dari Penang FC, penyokong Tok Gajah kempunan untuk melihat potensinya sebagai penyerang berbisa selepas mengalami kecederaan semasa latihan pramusim awal tahun ini.

Ketika ini banyak pemain dikaitkan untuk menyertai skuad kendalian Tok Gajah paling terbaru ialah William Jebor dan Mathues Babi.

Sebelum ini, Ifedayo tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas dilepaskan Melaka United dan berkontrak sebagai ejen bebas.

Dengan reputasi pemegang Kasut Emas dua tahun berturut-turut, penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol (12 gol musim 2020, 26 gol musim 2023), sehinggakan digelar 'King Dayo' ketika bersama Selangor FC membuatkan penyokong terkilan kerana pihak pengurusan tidak menyambarnya dulu sebelum KDA FC.

Namun melihat reaksi penyokong di media sosial Pahang lebih gemar jika Ifedayo bergandingan dengan Kpah Sherman kerana sudah terbukti kredibilitinya sebagai penyerang prolifik dalam Liga Malaysia.

"Dari awal musim ini Ifedayo 'free agent', tapi tak ada usaha pun untuk bawa dia ke dalam pasukan," kata Hanafiah Fauzi.

"Pahang selalu buat kerja lambat, yang rugi diri sendiri kesian Kpah Sherman," ujar Ibrahim Yusof.

"Mungkin minta gaji mahal biasanya Sri Pahang tak layan," jelas Hadi Hashim.

Kelibat Ifedayo tidak asing lagi dalam Liga Malaysia dengan pengalaman bersama Felda United, Melaka United dan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram