BARU-BARU ini, penyokong bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima khabar gembira apabila dua lagi pemain baharu bakal membantu pasukan tersebut untuk baki perlawanan musim ini.
Menjelang jendela perpindahan Julai nanti, pihak pengurusan KDA FC membawa masuk dua pemain baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede Jona.
Kehadiran bekas penyerang import Selangor FC itu dilihat bakal membantu mempertajamkan jentera serangan Sang Kenari selain mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kelahiran Brazil, Willian Lira.
Selain itu, pemain berusia 25 tahun, Moses Atede Jona bertugas untuk mengemudi barisan pertahanan tengah Sang Kenari kerana mempunyai pengalaman yang luas ketika bermain di Liga Bahrain.
Tangkap layar hantaran di laman Facebook. — Facebook/DrMohdDaudBakar
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengucapkan selamat ulang tahun kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda.
"Patik mengambil kesempatan merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-39 pada 30 Jun 2023.
"Didoakan agar Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tunku dianugerahkan kesihatan dan keafiatan yang berkekalan serta kebijaksanaan dan hikmah yang tinggi dalam segala dimensi kehidupan dan kepimpinan khususnya dalam landskap dan bandwidth bola sepak nasional dan antarabangsa.
"Sembah takzim dan tahniah disulami doa kepada ALLAH Yang Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu," katanya dalam hantaran tersebut.
Di sebalik hantaran tersebut, ramai penyokong Sang Kenari mengambil kesempatan dengan meminta pemilik KDA FC itu memohon jasa baik TMJ untuk meminjamkan salah seorang pemain Harimau Selatan yang menjadi idaman mereka.
Mereka mengandaikan hubungan KDA FC-JDT yang nampak semakin pulih dan baik selepas Mohd Daud Bakar mengambil alih Sang Kenari dapat membuahkan satu kerjasama baharu dengan pemilik kelab elit selatan tanah air itu.
Oleh itu, terdapat beberapa penyokong mula menyebut salah seorang nama pemain yang pernah menjadi pinjaman skuad Hijau Kuning pada awal musim lalu.
"Tan Sri, tebus kontrak Syafiq Ahmad," kata Muhammad Fariez.
"Daulat Tuanku...adjust Syafiq Ahmad," kata Jann Ina.
Rata-rata penyokong KDA FC menginginkan penyerang kedua JDT itu agar dibawa masuk ke kelab yang berpangkalan di Utara tanah air tersebut.
Sebelum ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu pernah dipinjamkan ke KDA FC bagi menempuh musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram