Dua awang import Sang Kenari bentuk bayangan baharu '1st eleven'


  • Podium
  • Khamis, 29 Jun 2023

Ifedayo bakal memberi impak terhadap serangan Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

PRESTASI cemerlang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang ditampilkan dalam saingan liga dilihat mampu memberikan cabaran kepada pencabar-pencabar utama apabila berada pada tangga keempat Liga Super 2023.

Menjelang jendela perpindahan Julai nanti, skuad KDA FC membuka langkah terlebih dahulu apabila membawa masuk dua orang pemain baharu untuk membantu pasukan itu beraksi dalam baki saingan musim 2023.

Pemain pertama yang dibawa masuk ialah pemenang dua kali Anugerah Kasut Emas Liga Super, Ifedayo Olusegun. Kehadirannya itu dilihat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kelahiran Brazil, Willian Lira yang berpisah dengan skuad Sang Kenari 16 Jun lalu.

WhatsApp Image 2023-06-29 at 19.23.13

Sesi latihan Amirbek bersama barisan pemain Sang Kenari. — Facebook/Kedahdarulamanfc

Penyerang berbisa itu dilihat sebagai suntikan baharu yang mana bakal membantu jentera serangan Sang Kenari mematahkan benteng pertahanan pihak lawan.

Selain itu, pemain pertahanan tengah, Moses Atede Jona yang turut diikat kontrak bersama Sang Kenari, kehadirannya adalah bagi menambah rencah di bahagian tengah kerana memiliki pengalaman yang luas ketika bermain di Liga Bahrain.

Pemain berusia 25 tahun itu antara yang terbaik untuk mengemudi peranan barisan pertahanan bahagian tengah.

Oleh itu, berikut merupakan bayangan kesebelasan utama barisan pemain KDA FC dalam menghadapi baki musim ini.

Antara barisan penyerang yang akan memperkukuhkan barisan KDA FC ialah Ifedayo, Lee Tuck dan Manuel Hidalgo.

Di benteng pertahanan pula, tiada perubahan dilihat akan berlaku dengan skuad Sang Kenari kerana pengendali Sang kenari sering meletakkan Akmal Zahir dan Heshamudin Ahmad.

Gandingan antara Rodney Celvin dan Bojan Ciger pasti akan diteruskan.

Manakala, kehadiran Moses Atede bakal memperkukuhkan jentera tengah jika digandingkan bersama Amirbek Juraboev dan Manuel Ott.

Pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain pastinya mengekalkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz.

Pastinya gandingan pemain lama dan baharu akan memberikan impak kepada pasukan KDA FC yang dilihat semakin menyinar dalam setiap perlawanan di Liga Malaysia (Liga-M).

KDA FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu untuk melengkapi perlawanan ke-16 liga menentang Terengganu FC pada 3 Julai depan.

Namun kelibat dua pemain baharu skuad Jelapang Padi itu mungkin hanya dapat digunakan pada perlawanan menentang PDRM FC memandangkan jendela perpindahan kedua dibuka pada 5 Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram