KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) berjaya mendapatkan dua pemain import baharu iaitu Ifedayu Olesegun dan Moses Atade menjelang jendela perpindahan kedua nanti.
Ifedayo bakal menggantikan Willian Lira yang menamatkan kontrak secara mengejut walaupun beraksi baik bersama Sang Kenari.
Kehadiran Moses juga akan menambah kekuatan di bahagian tengah KDA FC yang akan dibantu oleh Manuel Ott dan Amirbek Juraboev.
Kedua-dua pemain itu mempunyai rekod baik bersama pasukan terdahulu yang mana salah seorang merupakan pemenang Piala AFC musim 2021.
Walaupun tidak mempunyai bajet yang besar, kehadiran dua pemain itu patut diberi kredit kepada pihak pengurusan Sang Kenari kerana berjaya menandatangani import prolifik seperti Ifedayo dan Moses.
Ifedayo bakal menggantikan Willian Lira. — Facebook/KDA FC
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menerusi laman Facebook, meluahkan rasa syukur kepada skuad Hijau Kuning kerana berjaya membawa masuk dua pemain import baharu.
"Alhamdulillah, dengan bajet KDA FC yang sederhana, KDA FC dapat membawa masuk dua pemain yang ada track record harum dalam dimensi masing-masing.
"Ifedayu Olesegun, berasal dari Nigeria, mempunyai kerakyatan Bahrain, sebuah nama yang tidak asing di Malaysia. Dia banyak berjasa kepada landskap bola sepak Malaysia.
"Semoga dia menjadi ultimate finisher kepada KDA FC dalam baki saingan.
"KDA FC juga berjaya mendapat kontrak Moses Atade juga berasal dari Nigeria, kerakyatan Bahrain.
"Dia antara pemain yang menonjol dalam Liga Bahrain bermain sebagai defensive midfield.
Moses antara pemain yang menonjol dalam Liga Bahrain bermain sebagai defensive midfield. — Facebook/KDA FC
Daud Bakar turut memberi petanda bahawa KDA FC akan membawa seorang atau dua pemain baharu selepas menandatangani Ifedayo dan Moses.
"Kalau ada rezeki, KDA FC akan mendapat lagi satu atau dua pemain baharu di jendela perpindahan.
"Kita doakan yang terbaik. Insya-ALLAH Kedah akan buat yang terbaik dalam kemampuan untuk menjadikan Sang Kenari antara yang terunggul di Malaysia," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram