SALAH satu impak terbesar dapat dilihat selepas penyingkiran Terengganu FC daripada kancah Piala FA adalah keretakan dari segi keharmonian dalam skuad.
Perkara tersebut berpunca daripada komen terbuka yang dibuat ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner mengenai tiga pemainnya yang enggan mengambil bahagian ketika penentuan sepakan penalti.
Salah seorang yang disebut ketika sesi sidang media selepas perlawanan ialah penyerang import, Jordan Mintah yang masuk sebagai pemain gantian.
Meskipun muncul sebagai penjaring terbanyak untuk skuad Sang Penyu dalam Liga Super, kesukaran untuk berdepan tekanan menyaksikan perubahan terpaksa dibuat.
Mintah ketika dipinjamkan ke KL City FC ketika separuh kedua musim 2023.
Ketika ini, terdapat laporan yang mengatakan pemain berkenaan akan dihukum dengan namanya tidak akan disertakan untuk aksi Liga Super seterusnya menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Tindakan itu seperti hanya akan mencetuskan keretakan lebih dalam antara Jordan dengan Tomislav meskipun ramai melihat penyerang terbabit mempunyai personaliti bersahaja.
Jadi, dengan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan dibuka Rabu, terdapat desas-desus bahawa pemain berusia 27 tahun itu akan mencari angin baharu.
Situasi terbabit bukanlah sesuatu yang janggal buat penyokong Sang Penyu memandangkan dia pernah dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC pada pertengahan musim lalu.
Oleh itu, melihat kepada pasaran semasa, terdapat tiga pasukan yang dilihat sedang dalam usaha menguatkan jentera serangan dengan seorang penyerang berkualiti sedang cuba didapatkan.
1. Sri Pahang FC
Dilema mengenai ketumpulan jentera serangan skuad Tok Gajah bukanlah satu perkara yang baharu memandangkan kelab Pantai Timur itu hanya berharap kepada Kpah Sherman ketika ini.
Penyerang kebangsaan Liberia itu boleh dianggap sebagai penyelamat Sri Pahang musim ini dengan sembilan gol yang dijaringkannya dalam Liga Super cukup berharga buat pasukan itu.
Bagaimanapun, dengan separuh kedua musim dijangka akan memberi lebih banyak cabaran, pihak pengurusan semestinya akan cuba membawa masuk seorang penyerang berkualiti.
Hal itu dilihat cukup penting memandangkan import kelahiran Brazil, Lucas Silva terus dilanda kecederaan sejak awal musim dengan dia hanya merekodkan tiga penampilan setakat ini.
Lucas Silva (kanan) masih belum memberikan sebarang sumbangan buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Berdasarkan khabar angin, Sri Pahang FC dikhabarkan sudah menyenarai pendek beberapa calon, termasuk Matheus Babi dan Jon Dadi Bodvarsson.
Namun, pendekatan itu boleh dianggap sebagai satu perjudian amat besar buat kelab memandangkan terdapat risiko mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan segera.
Jadi, Mintah boleh dianggap sebagai alternatif terbaik dengan dia memiliki pengalaman hampir empat tahun dalam Liga Malaysia sejak menyertai Terengganu FC II pada 2020.
Persoalannya, dengan kedua-dua pasukan boleh dianggap sebagai seteru terdekat, adakah kata persetujuan dapat dicapai menjelang jendela perpindahan nanti?
2. Perak FC
Skuad The Bos Gaurus (TBG) tidak menunggu lama untuk mengumumkan rekrut pertama mereka untuk jendela perpindahan kedua selepas menyambar seorang ejen bebas, Jesper Nyholm.
Kehadiran pemain berdarah kacukan Sweden-Filipina itu boleh dianggap sebagai langkah terbaik yang boleh diambil Perak FC apabila mereka terlalu mudah dibolosi ketika ini.
Tetapi, tidak boleh dinafikan bahawa masih terdapat isu lebih besar yang perlu diberikan perhatian pihak pengurusan sepanjang Julai ini.
Hadi Fayyadh masih belum menjaringkan gol buat skuad senior TBG. — Facebook/Perak FC
Berdasarkan statistik, skuad TBG hanya menjaringkan 10 gol dalam 15 aksi Liga Super dengan hanya Kuching City FC (7) mencatatkan rekod lebih buruk.
Dua penyerang yang dibawa masuk sebelum ini, Hadi Fayyadh Abd Razak dan Christian Obiozor boleh dianggap sebagai rekrut mengecewakan dengan perkara itu dirasakan rata-rata penyokong skuad TBG.
Desas-desus di media sosial ketika ini mengatakan pihak pengurusan Perak FC berminat untuk mendapatkan bekas import Melaka United, Luka Milunovic yang merupakan seorang penyerang.
Khabar angin itu dilihat amat diterima baik rata-rata pengikut setia pasukan tersebut dengan mereka mengatakan pemain tersebut mempunyai rekod cukup baik dalam Liga Super.
Bagaimanapun, memandangkan Jordan Mintah seolah-olah bakal meninggalkan Terengganu FC, kelab Utara tanah air itu perlu memikirkan semula aktiviti perpindahan mereka.
Selain baru berusia 27 tahun, pemain tersebut juga jarang mengalami kecederaan serius, sekali gus membolehkan pihak kejurulatihan menurunkannya dengan lebih kerap.
3. Penang FC
Penang FC merupakan salah sebuah kelab Liga Super yang mempunyai lambakan pemain import dalam usaha mereka untuk menambah baik kedudukan dalam carta berbanding musim lalu.
Soony Saad, Ousmane Fane dan Giovane Gomes boleh dianggap sebagai tonggak utama skuad Harimau Kumbang dengan keberadaan masing-masing cukup penting untuk setiap hari perlawanan.
Namun, tidak boleh dinafikan bahawa masih terdapat segelintir pemain luar yang belum memberikan impak terbaik setiap kali diturunkan ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid.
Salah seorangnya ialah pemain kelahiran Brazil, Adriano Narcizo yang hanya menjaringkan satu gol dan mencipta tiga bantuan jaringan setakat ini.
Adriano masih belum memberikan impak terbaik buat skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Tidak cukup dengan itu, kecenderungannya untuk melewatkan hantaran juga kerap diberikan perhatian dengan penyokong berpendapat gaya permainannya hanya akan mensia-siakan pasukan.
Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat ura-ura bahawa pemain berusia 28 tahun itu akan digantikan bagi membolehkan Penang FC menambah baik kedudukan mereka dalam liga.
Antara yang disebut-sebut sebagai pengganti kepada Adriano ialah Mintah meskipun kedua-dua mereka mempunyai perbezaan ketara dari segi gaya permainan.
Berdasarkan beberapa perlawanan kebelakangan ini, Adriano lebih kerap beraksi sebagai pemain tengah menyerang dengan Manzoor kerap meletakkannya di belakang Giovane Gomes.
Bagi Mintah pula, Tomislav lebih gemar untuk menurunkannya sebagai penyerang tunggal sekiranya dia berada dalam kesebelasan utama dengan Adisak Kraisorn memberikan sokongan.
Tetapi, dengan Mintah pernah diberikan peranan bebas dalam jentera serangan, terdapat kemungkinan bahawa pihak pengurusan Penang FC boleh melakukan 'eksperimen' terhadap penyerang kelahiran Ghana itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram