ISU sepakan penalti masih menjadi topik utama dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air berikutan kejadian perlawanan separuh akhir Piala FA 2023 antara Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Ahad lepas.
KL City FC berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA untuk menghadapi pasukan gergasi tempatan, Johor Darul Takzim (JDT) pada 22 Julai yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Kegagalan Sang Penyu menempah tiket final itu menyebabkan jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner membuka mulut mengenai kejadian sewaktu perlawanan berlangsung bahawa beberapa anak buah kendaliannya tidak berani mengambil sepakan penalti.
Sebelum ini, pengendali Croatia menyebut tiga nama pemain Sang Penyu yang tidak mempunyai keyakinan untuk mengambil tanggungjawab tersebut iaitu Jordan Mintah, Faiz Nasir dan Hakimi Abdullah.
Namun begitu, rata-rata penyokong tidak berpuas hati dengan tindakan pengendali tersebut seperti ingin menyalahkan para pemain.
Matyo memberanikan diri untuk mengambil sepakan penalti walaupun gagal disempurnakan dengan baik. — Agensi
Dalam pada itu, insiden itu mendapat reaksi Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Matyo yang turut berkongsikan pengalamannya ketika beraksi bersama bekas pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menentang Sri Pahang FC.
JDT dan Tok Gajah terpaksa menghadapi cabaran yang paling digeruni dalam dunia bola sepak apabila perlawanan tersebut terpaksa diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas sekadar seri 2-2 dalam tempoh aksi sebenar.
Menerusi pengalamannya itu, penyerang veteran berkaliber tersebut mendedahkan bahawa kebiasaannya jurulatih pasukan akan memberi peluang kepada mana-mana pemain yang mempunyai keyakinan tinggi untuk mengambil sepakan penalti.
"Coach akan tanya, siapa yang confident, pergi ambil. Masa 2014 itu, ada senior dua tiga orang yang sudah angkat tangan tidak berani untuk ambil sepakan penalti.
"Saya masuk sebagai pemain gantian, extra time. Masa itu minit permainan kurang kerana ada Luciano Figueroa bermain sebagai striker, jadi saya sebagai simpanan.
"Jadi saya masuk sebagai pemain gantian, confident level tak 100 peratus tapi saya beranikan diri untuk ambil sepakan penalti, tanggungjawab untuk pasukan JDT walaupun gol yang keempat itu gagal disempurnakan oleh saya," kongsinya.
Ketika itu, hanya sepakan penalti Luciano, Jorge Diaz dan Hariss Harun berjaya menewaskan penjaga gol Tok Gajah dan gol Matyo diselamatkan dengan keputusan penentuan penalti 3-5 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Walaupun JDT gagal menjulang Piala Malaysia ketika itu namun ia memberi pengajaran kepada pemain bola sepak tanah air agar berani untuk mengambil tanggungjawab demi pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram