SATU demi satu pasukan Liga Super musim ini mengambil alternatif lebih awal mengumumkan pemain baharu mereka walaupun jendela perpindahan belum dibuka secara rasmi.
Pengumuman lebih awal itu setidaknya boleh mendiamkan mulut penyokong yang tertanya-tanya siapa wajah baharu kelab kesayangan dan ia juga boleh dianggap sebagai amaran awal kepada pasukan lain mengenai persediaan mereka.
Apa-pun alasan tersebut, pastinya saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas jendela perpindahan kedua ini akan lebih meriah dengan kehadiran pemain baharu dan mengukuhkan misi memperbaiki kedudukan di saingan liga.
Sementara penyokong pasukan lain dihidang dengan berita pemain baharu, lain pula jadinya pada pengikut Sri Pahang FC apabila difahamkan pasukan itu baharu sahaja terlepas import sasaran mereka.
Alain Akono merupakan bekas import skuad Jang pada musim 2021. — Instagram/AlainAkono
Menerusi khabar angin yang berlegar di media sosial, skuad Tok Gajah difahamkan gagal mendapatkan khidmat bekas tonggak Negeri Sembilan, Alain Thierry Akono selepas tiada persetujuan dicapati antara kedua-dua pihak.
Berita tersebut sedikit sebanyak memberi suasana muram untuk penyokong Tok Gajah yang sudah membayangkan penyerang Cameroon itu akan menjadi gandingan sesuai bersama Kpah Sherman.
Di sisi lain pula, kegagalan Tok Gajah itu membuka pintu kepada tiga kelab lain untuk mencuba mendapatkan kepakaran Alain Akono dan secara langsung menguatkan jentera serangan mereka.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini tiga kelab yang sesuai untuk beratur mendapatkan khidmat Alain Akono pada jendela perpindahan kedua ini;
1) Perak FC
Hadi ketika meraihkan jaringan gol bersama Perak FC II. — Facebook/PerakFC
Dari barisan pemain sehingga ke kejurulatihan, semuanya serba tak menjadi buat Perak FC pada awal musim Liga M musim ini sehingga menyaksikan pertukaran ketua jurulatih berlaku, yang mana Yusri Che Lah mengambil posisi Datuk Lim Teong Kim.
Enggan mengulas mengenai isu kejurulatihan skuad The Bos Gaurus namun apa yang diharapkan penyokong adalah kedatangan import terutamanya di bahagian kritikal Perak iaitu serangan.
Kritikal adalah perkataan sesuai menggambarkan keadaan jentera serangan Perak FC berikutan selepas 15 perlawanan TBG hanya mampu mencetak 10 jaringan gol dan tiga daripadanya dicetak oleh tonggak sayap, Seo-seonung.
Manakala, penyerang tulen seperti Hadi Fayyadh hanya mencetak satu jaringan gol bersama skuad simpanan, Perak FC II dan Christian Obiozor pula sepertinya sudah tidak berada dalam perancangan Perak.
Oleh itu, adalah wajar jika penyerang yang pernah terpilih ke pemilihan pemain skuad kebangsaan Cameroon untuk Kejohanan Africa Nations pada 2021 itu dipertimbangkan Perak FC.
2) Terengganu FC
Trio TFC musim ini dikatakan masih kurang memberikan sengatan di bahagian serangan. — Facebook/TFC
Terengganu FC (TFC) musim ini tidak memenuhi jangkaan penyokong yang mana menyaksikan skuad Penyu hanya berada di kedudukan kelapan dan gagal mengulangi sejarah 2022 untuk melangkah ke pentas akhir Piala FA.
Walaupun ramai mendesak agar tonggak tengah, Liridon Krasniqi disisihkan namun tidak kurang juga ada yang berharap agar berlaku pertukaran pemain di bahagian serangan TFC.
Meskipun trio serangan Jordan Mintah merekodkan lima jaringan gol, Ivan Mamut (empat) dan Adisak Kraisorn (tiga) tetapi ia masih belum memberi jaminan di pusingan kedua dan Piala AFC nanti.
Oleh itu khidmat pemain yang pernah mencetak 10 jaringan gol bersama pasukan Liga 1 Cameroon, AS Fortuna itu dipercayai mampu mengisi kelopongan di bahagian serangan.
3) Negeri Sembilan FC
Alain Akono bersama Devan membawa skaud Jang memenangi saingan Liga Perdana 2021. — Instagram/AlainAkono
Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum ini pernah menyatakan bahawa pihak pengurusan kelab itu tidak membuat penambahan pemain import pada sesi perpindahan kedua pemain Liga M pada Julai ini.
Namun sekiranya pengurusan tertinggi skuad Jang berubah fikiran, Alain Akono adalah jawapan yang tepat untuk dibawa masuk kembali dan menguatkan jentera serangan pasukan mereka.
Kemasukan kembali pemain berusia 27 tahun itu ke pangkuan skuad Jang memberi banyak kelebihan yang mana Alain Akono tidak perlu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.
Bekas tonggak Negeri Sembilan yang tiba pada musim 2021 itu membantu skuad Jang dengan mencetak sembilan jaringan dari 19 penampilannya dan merupakan watak utama membawa pasukan itu memenangi saingan Liga Perdana 2021.
Kontrak Alain Akono akan tamat pada 30 Jun ini bersama pasukan Liga Divsyen Dua Arab Saudi, Najran SC, kini tugas skuad Jang perlu memikatnya kembali untuk beraksi semula bersama Negeri Sembilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram