TFC makin rancak, Tomi buru 2 import Croatia


  • Podium
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Tomislav turut menepis beberapa dakwaan mengenai pemain baharu yang berlegar di media sosial. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS mendapatkan khidmat Sony Norde untuk mengukuhkan lagi jentera Terengganu FC musim depan, ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner berhasrat untuk mendapatkan khidmat dua pemain dari negara asalnya, Croatia bagi mengisi kuota import skuad.

Di samping itu, dia juga difahamkan sedang mencari seorang pemain dari negara ASEAN untuk melengkapkan kekosongan yang ditinggalkan pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina, Manuel Ott.

Meskipun beraksi dengan cemerlang musim ini, pemain berusia 30 tahun itu dikhabarkan bakal mengikut jejak bekas pengendali skuad Sang Penyu, Nafuzi Zain yang berhijrah ke Kedah Darul Aman FC musim depan.

"Kami berhasrat untuk menawarkan tawaran kepada beberapa pemain asing... Saya sedang mencari seorang penyerang dan pemain tengah untuk menggantikan penyerang tahun ini, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.

"Saya percaya kami boleh bawa dua pemain Croatia, tetapi kami masih mencari seorang lagi pemain ASEAN untuk menggantikan Manny (Manuel Ott),” katanya.

Selain itu, Steinbruckner yang pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal Terengganu FC itu turut merancang untuk membawa masuk beberapa pemain muda dari skuad simpanan Terengganu FC II ke skuad utama musim depan.

Menurut Steinbruckner, antara pemain yang berpotensi untuk 'dinaikkan pangkat' termasuk Muhammad Safwan Mazlan dan Aqil Irfanuddin Mohd Sabri yang menjadi tonggak utama pasukan Liga Perdana itu musim ini.

"Mungkin saya akan bawa beberapa pemain TFC II seperti Safwan, dia layak beraksi dalam skuad pertama (TFC) dan sudah tentu ada pemain kontrak seperti Aqil.

"Dia kini berusia 25 (tahun)... tidak boleh lagi bermain dengan skuad Terengganu bawah 23 tahun dan akan bermula dengan pasukan saya pada musim baharu,” katanya.

Dalam pada itu bekas pengendali T-Team itu turut menafikan khabar angin bahawa dia berminat untuk menggunakan khidmat bekas pemain Sabah FC, Luka Milunovic dan Sanjar Shaakhmedov seperti yang diperkatakan di media sosial. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram