PEMAIN tengah kelahiran Sepanyol, Mario Arques menjadi antara pemain terbaharu yang meninggalkan Kelantan FC selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil haluan masing-masing pada Selasa.
Keputusan tersebut dikatakan diambil berikutan prestasi buruk yang dialami kelab berkenaan dalam Liga Super apabila mereka kini terperosok di dasar liga.
Tambahan pula, kemelut pengurusan yang dialami pasukan Pantai Timur berkenaan sejak awal musim lalu menyebabkan rata-rata pemain mula meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW).
Kini, persoalan mula timbul mengenai masa depan pemain tengah itu mengenai kelab yang bakal disertainya untuk baki musim 2023.
Berdasarkan beberapa informasi yang bertebaran di media sosial, Arques difahamkan sedang dirisik pasukan kerdil Liga Super, PDRM FC.
Hal tersebut dikatakan berpunca daripada prestasinya yang cemerlang sepanjang beraksi buat skuad TRW dengan sumbangan pemain berusia 31 tahun itu cukup dirasai.
Skuad TRW mengumumkan pemergian Mario Arques pada Selasa. — Facebook/TRW Kelantan FC
Namun, reputasi memberangsangkannya dalam Liga Super turut dikatakan menarik minat pihak pengurusan Perak FC seperti mana dikhabarkan penyokong kelab itu.
Situasi terbabit semestinya merunsingkan Arques yang terpaksa membuat keputusan segera memandangkan jendela perpindahan akan dibuka pada 5 Julai.
Melihat kepada keadaan kedua-dua kelab itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) dilihat sebagai destinasi lebih sesuai buat bekas graduan Villareal CF itu.
Ini kerana terdapat tiga sebab untuk pemain dengan ketinggian 1.85 meter itu untuk memilih kelab Utara tanah air tersebut berbanding menyertai skuad Sang Saka Biru.
1. Kualiti kepimpinan yang dimiliki
Seperti mana yang diketahui bahawa Arques diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten bersama skuad TRW jika namanya berada dalam kesebelasan utama.
Hal itu dilihat berpunca daripada tahun-tahun penglibatannya bersama Kelantan FC yang mana dia juga pernah menyarung jersi kelab itu pada 2021.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan boleh dikatakan cukup bagus buat pasukan terbabit dengan pemain itu dikenali dengan kelantangannya dalam pasukan.
Sebagai contoh, tular sebuah video sebelum ini yang memaparkan Arques kelihatan berang dengan bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik berikutan isu komunikasi.
Arques pernah bertikam lidah dengan Moon-sik sebelum ini.
Ia menunjukkan pemain veteran itu cukup mementingkan keserasian di atas padang di samping mampu meningkatkan tahap perjuangan rakan sepasukan.
Namun, sekiranya dia memilih untuk ke PDRM FC, terdapat kemungkinan dia tidak akan diberikan kepercayaan untuk membimbing pasukan di atas padang melihat kepada lambakan pemain berpengalaman.
Meskipun mereka sudah kehilangan khidmat Azmi Muslim, ia dilihat tidak memberi kesan apabila mereka mudah mencatatkan kemenangan ketika berdepan Perak FC dengan peranan kapten digalas bek kiri, Amir Saiful.
Tetapi, sekiranya Arques berharap untuk meraih kepercayaan yang sama, skuad TBG dilihat sebagai destinasi terbaik dengan mereka masih tidak mempunyai pemimpin berkualiti ketika ini.
Hafizal Mohamad, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Luciano Guaycochea merupakan antara yang pernah diberikan kepercayaan, namun masing-masing tidak dapat menanggung tanggungjawab besar itu sebaik mungkin.
Jadi, dengan kualiti serta ciri-ciri kepimpinan masih dapat dilihat dalam diri Arques, perpindahan ke kelab Utara tanah air tersebut boleh dikatakan sebagai pilihan terbaik buatnya.
2. Perak FC kekurangan pemain tengah berkualiti
Setakat 15 perlawanan Liga Super, Perak FC masih belum mendapatkan kesebelasan utama terbaik yang mana menyebabkan pihak kejurulatihan sukar menerapkan pendekatan taktikal.
Isu kecederaan dan prestasi tidak menentu boleh dikatakan sebagai faktor penting di sebalik hal itu sehingga memaksa penggiliran dibuat dengan kerap.
Antara posisi yang sering berdepan isu tersebut ialah di bahagian tengah memandangkan mereka tidak mempunyai seorang dengan kualiti untuk menjadi tonggak utama.
Tidak cukup dengan itu, masalah kecederaan yang dialami Guaycochea turut menyaksikan dia terpaksa disisihkan pada awal musim sebelum khidmatnya dapat ditagih selepas beberapa perlawanan.
Skuad TBG tidak boleh mengharapkan kualiti Guaycochea semata-mata. — Facebook/Perak FC
Dalam perlawanan baru-baru ini, ketua jurulatih, Yusri Che Lah menggunakan kombinasi Fadhil Idris, Sunday Afolabi serta Guaycochea, tetapi berkesudahan dengan kekalahan buat mereka.
Jadi, sekiranya Arques berhasrat untuk mengesahkan tempatnya dalam pasukan, skuad TBG boleh dianggap sebagai pilihan terbaik berbanding PDRM FC.
Berdasarkan kesebelasan utama terbaru mereka, skuad Sang Saka Biru turun dengan Kyaw Min-oo, Marcus MacAuley dan Fadi Awad di bahagian tengah.
Ketiga-tiga pemain itu boleh dianggap sebagai tonggak utama pasukan dengan pihak kejurulatihan hanya membuat perubahan sekiranya berlakunya kecederaan atau isu kecergasan.
Kombinasi mantap tersebut hanya akan menyebabkan Arques terpaksa menunggu dengan lebih lama berbanding sekiranya dia memilih untuk menyertai skuad TBG.
3. Tiada isu kecederaan
Berdasarkan rekod, Arques jarang mengalami kecederaan serius dengan dia hanya berdepan masalah tersebut ketika masih bersama kelab India, Kerala Blasters FC pada 2019.
Perkara berkenaan membolehkannya diturunkan dengan lebih kerap berbanding pemain-pemain lain musim ini dengan dia hanya tidak beraksi dalam dua perlawanan Liga Super.
Oleh itu, dia pastinya tidak akan mempunyai masalah untuk menyertai mana-mana pasukan yang mendambakan seorang yang boleh bermain dengan kerap.
Melihat kepada situasi antara PDRM FC dan Perak FC, skuad TBG lebih memerlukan seseorang dengan tahap kecergasan berbanding kelab Lembah Klang itu.
Arques mempunyai tahap kecergasan yang cukup baik. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tidak boleh dinafikan bahawa isu kecederaan amat memberi kesan amat besar buat juara Piala Malaysia 2018 tersebut dengan beberapa tonggak terpaksa disisihkan setakat ini.
Penyerang import dari Korea Selatan, Seo Seon-ung dan Wan Zack Haikal merupakan antara yang terus dihurung masalah besar itu sehingga menyebabkan kelibat mereka kurang dirasai.
Jadi, dengan Arques jarang mengalami kemelut kecergasan serta kecederaan, kehadirannya pasti akan cukup menggembirakan Yusri serta staf kejurulatihannya.
Selain itu, kebolehannya untuk beraksi sepanjang 90 minit juga boleh dijadikan satu tarikan dengan pengendali pasukan tidak perlu melakukan perubahan pada pertengahan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram