'Jangan buat penyokong terluka', Bekas import Sabah tak disambut baik ke TFC


  • Podium
  • Rabu, 30 Nov 2022

Milunovic dipinjamkan dari Melaka ke Sabah FA pada jendela perpindahan kedua musim 2019. — Facebook/Melaka FC

KEBELAKANGAN ini nama pengarah teknikal Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner semakin hangat diperkatakan akan menggantikan bekas ketua jurulatih Nafuzi Zain pada musim depan.

Bukan sahaja penukaran jurulatih, malah barisan pemain skuad Penyu juga dikatakan bakal berwajah baharu dengan para pemain musim ini dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain.

Penghijrahan para pemain itu mulai diganti dengan khabar angin yang mengatakan TFC sedang agresif dalam membawa masuk tonggak import.

Sebelum ini, bekas import TFC, Igor Zonjic dikaitkan akan kembali ke bumi Darul Iman selepas semusim menabur bukti bersama Terengganu.

Terbaharu, skuad berpangkalan di Pantai Timur itu dikhabarkan akan merekrut bekas tonggak import Sabah FC, Luka Milunovic bagi memperkukuh jentera serangan pasukan Terengganu.

Kedatangan pemain dari Siberia itu difahamkan akan mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh penjaring terbanyak Piala Malaysia, Kpah Sherman.

Penyerang import Terengganu itu dilaporkan sedang menjadi buruan skuad Sri Pahang bagi membantu mereka mengharungi musim 2023 nanti.

luka melaka

Milunovic (tengah) mula bersama pasukan Melaka pada 2019. — Facebook/Melaka FC

Milunovic bukan nama yang asing dalam dunia bola sepak tanah air kerana pengalamannya sebelum ini bersama Melaka FC pada 2019 dan dipinjamkan ke Sabah FA ketika perpindahan kedua tahun tersebut.

Meskipun hanya semusim bersama kedua-dua pasukan itu, namun pemain berusia 29 tahun tersebut berjaya meledak 10 jaringan dalam 21 penampilan pada saingan Liga Super.

Namun jika pihak pengurusan TFC berhasrat untuk mengikat pemain berkenaan, mereka perlu menebus kontrak pemain berkenaan.

Hal ini kerana, Milunovic difahamkan masih terikat kontrak dengan kelab Greece, Niki Volou sehingga Jun 2023.

Meskipun pemain yang berketinggian 1.81 meter itu pernah bermain sehingga ke peringkat Liga Juara-Juara UEFA (UCL) namun khabar angin kepulangannya ke Liga Malaysia tidak disambut baik oleh penyokong TFC.

“Jangan buat peminat terluka dahlah,” komen penyokong TFC, Abrahim Juhairi.

“Kalau ada bajet lebih, lebih baik cari pemain import lebih berkualiti. Sebab musim 2023 nak main Piala AFC, bukan setakat Piala FA, Piala Malaysia,” kata penyokong, Suhairey Muda.

“Biasa-biasa saja import kitar semula,” tulis penyokong Terengganu, Mohd Faizal Zulkefli.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak pengurusan TFC masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pemain berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram