KELANTAN FC sentiasa mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air apabila sering dikaitkan dengan isu tunggakan gaji yang tidak berkesudahan.
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa pemain The Red Warriors (TRW) mengambil keputusan untuk angkat kaki berikutan masalah tersebut.
Baru-baru ini, penyerang TRW, Fazrul Amir Zaman memuat naik semula hantaran daripada salah seorang pemain Kelantan FC, Muhammad Afzal Akbar yang seakan-akan memberi bayangan mengenai isu tunggakan gaji tersebut belum selesai.
Tangkap layar memaparkan hantaran tersebut. — Instagram/nuhamarong14
Dalam pada itu, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa penyerang import TRW, Nuha Marong juga didakwa membuat keputusan sama untuk meninggalkan kelab tersebut.
Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Nuha meluahkan perasaannya kerana meninggalkan skuad Kelantan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat TRW Kelantan, kakitangan teknikal dan terutamanya pemain atas kerjasama yang diberikan dari hari pertama.
"Hari ini saya menamatkan perjalanan bersama kelab TRW yang saya tidak sangka akan berakhir seperti ini.
"TRW Kelantan akan sentiasa di hati saya. Saya harap semua masalah dalaman dapat diselesaikan untuk kebaikan penyokong yang sebenarnya adalah kelab dan yang berusaha untuk melakukannya. Semoga berjaya dalam baki musim ini," kongsinya dalam hantaran tersebut.
Difahamkan, Nuha bakal kembali beraksi di Liga Sepanyol selepas sah ditamatkan kontrak di Kelantan FC.
Nuha Marong merupakan pemain kelahiran Gambia yang pernah beraksi dalam Liga Sepanyol sebelum memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Selain itu, pemain berketinggian 1.93 meter itu pernah beraksi bersama skuad muda kebangsaan Sepanyol dan skuad Senior Gambia.
Pada 2022, penyerang berusia 30 tahun itu telah berhijrah ke Asia dengan bermain di kelab Bangladesh dan baru saja menyertai Rajasthan United di India.
Menduduki tangga tercorot liga, Kelantan tewas 12 dari 14 perlawanan dihadapi setakat ini dengan hanya meraih empat mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram