Cuba pikat keeper Inter Milan, de Gea masih dalam pelan Man United


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jul 2023

David de Gea belum menandatangani kontrak baharu bersama Man United. — Instagram/d_degeaofficial

MANCHESTER United dijangka akan meneruskan perbincangan dengan David de Gea walaupun kontrak penjaga gol itu sudah tamat tempoh.

Dengan perbincangan panjang di antara kedua-dua pihak gagal mencapai kesepakatan, pemain veteran Sepanyol itu akan bergelar pemain ejen bebas bermula 1 Julai.

Difahamkan, terdapat laporan mendakwa De Gea sebelum ini telah bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan tetapi kelab berkenaan memilih untuk tidak melanjutkannya selain cuba menawarkan beberapa syarat berbeza.

United kini sedang hangat dikaitkan untuk mendapatkan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana tetapi mengesahkan bahawa perbincangan dengan De Gea akan terus berjalan.

"Kontrak David de Gea akan tamat tidak lama lagi tetapi perbincangannya masih terbuka buat penjaga gol yang telah berkhidmat panjang itu," kata satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan.

United juga turut mengesahkan bahawa pemain tengah, Marcel Sabitzer dan penyerang Wout Weghorst, masing-masing akan kembali ke beraksi Bayern Munich dan Burnley.

Sebelum ini, pengendali The Red Devils, Erik ten Hag bersetuju untuk menandatangani pemain tengah England, Mason Mount daripada Chelsea. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram