BERITA ketibaan pemain import tengah baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Moses Atede Jona dilihat merupakan satu pembelian positif buat skuad Sang Kenari.
Malah penyokong Hijau Kuning rata-rata pastinya melihat pertambahan tersebut sebagai satu penambahbaikan yang diperlukan pasukan khususnya dalam mengukuhkan bahagian tengah.
Apatah lagi Moses yang baru berusia 25 tahun itu juga hadir dengan status sebagai pemain tonggak yang membawa kelab bola sepak berpangkalan di Bahrain, Al-Muharraq SC memenangi Piala AFC 2021.
Dengan mengambil perkara tersebut, kemasukan pemain kelahiran Nigeria itu pastinya mampu memberikan dimensi baharu terhadap barisan tengah KDA FC.
Pada masa sama, pembelian Moses juga dilihat seakan-akan menjawab kegusaran peminat terhadap prestasi semasa gandingan tengah yang ditampilkan pengendali skuad Sang Kenari dalam pusingan pertama Liga Super 2023.
Selain isu ketidakupayaan untuk menampilkan lebih kestabilan di posisi tersebut, tonggak tengah KDA FC juga dilihat berhadapan untuk menunjukkan dominasi di bahagian tengah padang.
Malah, kekurangan perlindungan terhadap garisan pertahanan skuad Sang Kenari juga dilihat menjadi antara punca utama pasukan tersebut mudah dibolosi oleh pihak lawan.
Untuk rekod, selepas mengharungi 14 perlawanan, KDA FC merekodkan sebanyak 19 bolos.
Formasi asas yang digunakan Nafuzi dalam hampir kesemua perlawanan tersebut menyaksikan beliau menggunakan tiga orang pemain di posisi tersebut dengan dua daripadanya bertindak sebagai double pivot di bahagian tengah bertahan dan seorang lagi adalah tengah menyerang.
Moses hadir ke KDA FC dengan status sebagai pemenang Piala AFC 2021 bersama Al-Muharraq SC. — Facebook/KDAFC
Pada waktu ini, Nafuzi dilihat masih tercari-cari gandingan tetap untuk mengisi posisi di bahagian dua tengah bertahan.
Meskipun kerap menggunakan gandingan kapten pasukan Amirbek Juraboev dan Manuel Ott, namun pengendali berusia 44 masih mencuba beberapa pemain lain untuk posisi tersebut terutamanya dalam beberapa perlawanan akhir liga.
Dua lagi pemain tengah yang turut pernah ditampilkan bagi menggalas tanggungjawab di bahagian tersebut ialah Amirul Hisyam Awang Kechik dan Fadzrul Danel.
Disebabkan itu, kehadiran Moses pastinya memberi bayangan bahawa Nafuzi kini sedang berusaha untuk mencari gandingan tetap di bahagian tengah pasukan skuad Sang Kenari.
Majoriti menggariskan tiga pemain yang berkemungkinan menjadi gandingan untuk mengawal bahagian tengah KDA FC:
1. Amirbek Juraboev
Amirbek ketika beraksi bersama KDA FC pada musim ini. — Facebook/KDAFC
Untuk rekod, pemain kelahiran Tajikistan ini merupakan satu-satunya pemain tengah bertahan utama yang ditampilkan skuad Kedah dalam kesebelasan utama pasukan.
Manakala seorang lagi pemain tengah bertahan pasukan, iaitu Kamil Akmal dilihat masih belum mendapat kepercayaan Nafuzi apabila hanya diletakkan sebagai pemain pertahanan kanan dalam beberapa perlawanan.
Oleh itu, kehadiran Moses pastinya berpotensi menemukan Amirbek, 27, dengan gandingan yang lebih stabil untuk membolehkan KDA FC tampil dengan lebih yakin di bahagian tengah.
Malah, keupayaan Moses untuk melindungi bahagian tengah juga membolehkaan Amirbek lebih yakin untuk menyumbang di bahagian serangan.
Kebolehan Amirbek dalam aspek menyerang terbukti apabila dia sudah pun merekodkan tiga jaringan untuk pasukan Kedah, iaitu jumlah gol yang sama dengan pemain sayap kedah, Manuel Hidalgo.
Pada masa sama, gandingan ini sekiranya berjaya dibentuk juga memberi peluang kepada Ott untuk lebih fokus di bahagian tengah menyerang.
2. Manuel Ott
Ott ketika sesi latihan bersama skuad KDA FC. — Facebook/KDAFC
Antara kritikan utama yang diberikan terhadap gandingan Ott dan Amirbek adalah ketidakupayaan mereka untuk memberikan kestabilan di bahagian tengah.
Ini kerana corak permainan kedua-dua pemain itu yang lebih bersifat ofensif menyebabkan barisan tengah mula hilang keseimbangan khususnya dari aspek bertahan.
Ketidakstabilan itu juga didakwa menjadi punca menyebabkan Ott, 31 seakan-akan hilang sentuhan untuk menjadi pemain yang diharapkan mampu membantu menghasilkan gerakan kreatif yang berbahaya.
Disebabkan itu, kehadiran Moses yang dilihat lebih selesa untuk kekal di kawasan bahagian tengah padang ketika perlawanan berkemungkinan boleh menjadi kunci kepada penyelesaian masalah tersebut.
Gandingan ini juga sekiranya berjaya direalisasikan berkemungkinan boleh menjadi sebab untuk membolehkan Ott mencapai potensi sebenarnya sebagai pemain tengah.
3. Amirul Hisyam
Amirul Hisyam (tengah) berpotensi untuk membentuk gandingan bersama Moses dalam beberapa tahun akan datang. — Facebook/KDAFC
Keupayaan Amirul Hisyam untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemain tengah sememangnya tidak boleh dinafikan.
Apabila berada prestasi di terbaiknya, pengaruh dimiliki pemain berusia 28 tahun itu boleh dirasai di segenap keseluruhan padang sama ada ketika bertahan mahupun ketika melancarkan proses serangan pasukan.
Namun begitu, perubahan kejurulatihan dan barisan pemain di skuad KDA FC sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap prestasinya sehingga menyebabkan dia dilihat semakin tenggelam.
Namun begitu, Nafuzi kini dilihat sudah mula memberikan keyakinan terhadap Amirul Hisyam denggan pemain itu sudah diberikan peluang untuk beraksi dalam empat perlawanan terakhir.
Dengan umur yang masih agak muda, pilihan gandingan antara Amirul Hisyam dan Moses ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu dipertimbangkan.
Ini kerana sekiranya, kedua-dua pemain tersebut berupaya untuk mencipta keserasian antara satu sama lain, mereka berpotensi untuk menjadi tonggak tengah utama pasukan yang mengemudi pasukan untuk beberapa tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram