KEDAH Darul Aman (KDA) FC bakal menghidangkan aksi yang lebih menyengat di pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M) apabila disahkan mengikat bekas penggempur berbisa, Ifedayo Olusegun untuk baki musim 2023.
Pengumuman tersebut menggembirakan penyokong Sang Kenari dan pemain dari Nigeria itu dianggap sebagai pengganti ideal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang Brazil, Willian Lira.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi KDA FC, kelab itu menyatakan bahawa tonggak berusia 32 tahun itu didaftarkan sebagai pemain kuota Asia Sang Kenari kerana memiliki kerakyatan Bahrain.
Ifedayo yang pernah dinobatkan pemenang Kasut Emas bagi dua tahun berturut-turut iaitu penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol bersama Selangor FC cukup mengesahkan ketajamannya di hadapan gawang lawan.
Rekod tersebut dan pengalamannya pernah beraksi di saingan Liga M bersama Melaka United, Felda United dan Gergasi Merah pastinya memudahkan Ifedayo untuk menyesuaikan diri bersama KDA FC.
Di sebalik kedatangan Ifedayo ke Darul Aman, terdapat satu hantaran dari sebuah portal sukan mengatakan bahawa pihak pengurusan KDA FC meminta pertolongan pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim untuk melepaskan penyerang itu.
Tangkap layar hantaran dari Flash Sukan.
Dakwaan itu sekali gus seolah-olah mengatakan bahawa Ifedayo merupakan tonggak Harimau Selatan dan dia hadir ke Darul Aman sebagai pemain pinjaman dari juara bertahan Liga Super itu.
“Difahamkan pihak pengurusan tertinggi Kedah Darul Aman FC, menjunjung kasih TMJ untuk pelepasan Ifedayo,” tulis Flash Sukan pada laman Twitter pada Rabu namun hantaran tersebut sudah dipadam pada hari yang sama.
Tidak berdiam diri, pihak pengurusan KDA FC menerusi ruang komen mereka menegaskan bahawa akan mengambil tindakan terhadap kenyataan berkenaan yang disiarkan portal sukan tersebut.
Tangkap layar komen dari KDA FC.
“KDA akan ambil tindakan sewajarnya terhadap Flash Sukan sebab keluarkan kenyataan tidak tepat. Diharap pihak media dapat menyokong kelab bola sepak tempatan dengan lebih positif,” tulis KDA FC ketika menjawab pertanyaan daripada penyokong berhubung dakwaan berkenaan.
Dalam pada itu, selain Ifedayo, KDA turut mengumumkan Moses Atede Jona yang berasal dari Kaduna, Nigeria akan menguatkan jentera tengah pasukan bagi menghadapi baki saingan liga.
Pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kerakyatan Bahrain dan akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram