SELANGOR FC mengumumkan pemain baharu, Richmond Boakye-Yiadom yang akan bergandingan dengan Ayron del Valle serta Faisal Halim di jentera serangan skuad Gergasi Merah.
Penyerang berusia 30 tahun itu memiliki pengalaman yang cukup luas dalam pentas bola sepak Eropah dan pernah beraksi bersama beberapa pasukan di Serie A (Itali).
Bekas bintang Sasuolo itu pernah membantu pasukan untuk dipromosikan ke Serie A selain menjadi tunjang utama buat beberapa pasukan.
Boakye pernah beraksi bersama gergasi Serie A, Juventus FC namun lebih menyerlah ketika di Serbia bersama Red Star Belgrade.
Aksi cemerlangnya bersama Red Star Belgrade menyaksikan dia meledak 43 gol selain melakar 11 bantuan gol dalam 63 perlawanan bersama pasukan terbabit.
Boakye sertai Gergasi Merah menjelang jendela kedua Liga Super. — Facebook/Selangor FC
Namun begitu, penyokong Selangor lebih gemar melihat pihak pengurusan membawa masuk pemain pertahanan yang mana ia dilihat posisi kritikal dalam skuad Gergasi Merah ketika ini.
Malah ada yang mencadangkan supaya Selangor membawa masuk pemain baharu di posisi kanan selepas Quentin Cheng mempamerkan aksi yang buruk ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) pada Isnin.
Penyokong menyenaraikan nama-nama pemain yang perlu dibawa Selangor jika kuota import sudah penuh diisi oleh Boakye.
Majoriti senaraikan tiga pemain wajar disambar pihak pengurusan Selangor sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup:
Azam Azmi. — Facebook/TFC
1. Muhammad Azam Azmi Murad
Antara prospek utama skuad kebangsaan untuk menggantikan posisi Matthew Davies di masa akan datang.
Azam dianggap sebagai salah satu tonggak Terengganu FC yang cukup dikenali dengan kemampuan untuk melakukan terjahan bersih serta menyekat serangan pihak lawan.
Musim ini, Azam sekali lagi meneruskan prestasi membanggakannya apabila tampil dalam kesemua aksi Liga Super 2023.
Bersama skuad kebangsaan B-23, pemain berusia 22 tahun itu berjaya menghadiahkan Piala Merlion pada Mac 2023 yang mana mereka menewaskan Hong Kong di pentas final dengan keputusan 2-1.
Pemain berusia 22 tahun ini sudah pun menghasilkan satu jaringan gol dan dua assist bersama Sang Penyu.
2. Joshua James Rawlins
Joshua Rawlins sedang beraksi di Belanda mendapat perhatian orang ramai apabila dia dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibunya.
Pemain berusia 19 tahun itu sedang beraksi bersama skuad muda FC Utrecht Bawah 21 (B-21) di Liga Belanda.
Rawlins merupakan pemain 'regular' skuad Australia B-23.
Selain Australia B-23, Rawlins turut pernah tersenarai dalam skuad Australia B-17 dan B-20 yang mana menyaksikan dia beraksi di posisi pertahanan kanan serta bek tengah.
Syamer Kutty antara tonggak penting Harimau Malaya. — Facebook/JDT
3. Syamer Kutty Abba
Meskipun jarang diturunkan bersama JDT, penyokong memuji aksi yang dipamerkan Syamer Kutty Abba ketika beraksi bersama Harimau Malaya.
Syamer yang mula beraksi semula bersama Harimau Malaya kembali meraih tempatnya di dalam skuad kebangsaan selepas baru pulih daripada kecederaan lutut yang menyebabkan dia tidak beraksi lama.
Pemain berusia 26 tahun itu kembali seperti permainannya yang dulu menjaga kawasan tengah skuad kebangsaan walaupun tidak mendapat minit permainan yang cukup bersama JDT.
Jika Selangor berjaya mendapatkan Syamer, dia akan memudahkan melakukan serangan dan pada masa sama boleh menjaga benteng pertahanan supaya terus lancar.
Tan Cheng Hoe antara individu yang mengenali corak permainan Syamer yang mana mereka pernah bersama di dalam Harimau Malaya seblum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram