JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia yang bakal dibuka pada awal Julai mampu menjadi satu titik perubahan buat mana-mana kelab tempatan ketika ini.
Malah, perpindahan kali ini akan digunakan sebaik mungkin untuk pengurusan kelab bagi memperkuatkan pasukan masing-masing dengan membawa masuk pemain baharu, selain melepaskan pemain yang tidak diperlukan.
Dua kelab iaitu Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) antara yang terawal mengumumkan import terbaharu masing-masing.
Sehubungan itu, bagi mana-mana kelab lain di Liga Malaysia, mereka perlu segera mengambil peluang merisik pemain-pemain berpotensi untuk dibawa tatkala jendela perpindahan masih dibuka.
Bagi kelab yang mengalami masalah dari segi serangan, mereka perlu mengambil peluang untuk merebut penjaring gol terbanyak Liga Vietnam pada musim 2017/2018, Ganiyu Oseni.
Sepanjang beraksi di Liga Vietnam pada musim lalu, Oseni cukup cemerlang dengan merekodkan enam gol dan dua assist menerusi 21 penampilan.
Dengan status sebagai ejen bebas, pemain berasal dari Nigeria itu belum disambar mana-mana kelab ketika ini.
Oleh itu, terdapat tiga pasukan yang pastinya memerlukan khidmat pemain berketinggian 1.77meter itu sebagai penyudah dalam baki saingan Liga Super 2023.
Sri Pahang FC
Lucas masih belum berada dalam kecergasan terbaik selepas sembuh dari kecederaan. — Facebook/Sri Pahang FC
Walaupun berada di tangga ketiga carta Liga Super, prestasi Sri Pahang FC yang tidak konsisten dilihat masih memerlukan penyudah untuk membantu pasukan tersebut melakar kemenangan dalam setiap perlawanan.
Kecederaan yang dialami penyerang import dari Brazil, Lucas Silva turut memberi kesan di bahagian serangan yang hanya menyandarkan kepada Kpah Sherman selaku penyerang tunggal.
Sehubungan itu, jika Ganiyu Oseni sah menyarung jersi Sri Pahang, ia sudah pasti bukan sahaja memperkuatkan pasukan, malah posisi serangan akan lebih padu.
Penang FC
Skuad Harimau Kumbang perlu melakukan rombakan ketika jendela perpindahan kedua Liga Super. — Facebook/Penang FC
Skuad Harimau Kumbang pada ketika ini sememangnya memerlukan seorang penyerang yang mampu membawa pasukan itu bangkit dan bersaing bersama pasukan lain.
Manakan tidak, skuad Pulau Mutiara itu kini berada di tangga ke-10 daripada 14 pasukan, hasil 14 mata yang dipungut, iaitu kurang dua mata daripada PDRM FC yang berada satu anak tangga di atasnya dengan 16 mata.
Jika melihat kepada penyerang import Penang FC kini terdiri daripada daripada Sonny Saad serta Giovane Gomes, tentunya tambahan seorang lagi peledak tentunya akan membantu pasukan tersebut menempuh pusingan kedua liga.
Kelantan FC
Ismahil Akinade diumumkan sebagai pemain import baharu Kelantan United FC. — Facebook/Kelantan United
Kelantan FC terpaksa berputih mata apabila menyaksikan penyerang tinggi lampai The Red Warriors (TRW), Ismahil Akinade disahkan menyertai seteru setempat Kelantan United FC (KUFC).
Kehilangan pemain itu ke kelab jiran mereka merupakan satu kerugian besar buat skuad TRW susulan Ismahil merupakan antara penyumbang terbesar dari segi jaringan gol pada musim ini.
Tonggak berusia 29 tahun itu tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan segera apabila Ismahil berjaya melakukan empat gol, tiga hantaran bantuan dalam 10 perlawanan bersama Kelantan.
Sehubungan itu, berada di tangga tercorot Liga Super, skuad TRW itu harus segera menggantikan tempat yang ditinggalkan Ismahil dan Ganiyu Oseni merupakan calon yang sesuai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram