‘Richmond’ di belakang, ‘Richmond’ di depan tepati penggiliran Red Giants


  • Podium
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe bersama pemain baharu Gergasi Merah, Boakye. — Ghanasoccernet

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

TAN Cheng Hoe tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Malah, bukan dia bersendirian tapi seluruh pasukan sekembalinya daripada kekalahan separuh akhir Piala FA di Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada mereka tercari-cari penawar terhadap kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada Isnin, ketibaan Richmond Boakye-Yiadom sebagai anggota terbaru pasukan yang diumumkan pada Rabu, membawa bersamanya harapan baru buat Selangor FC.

Sarat dengan testimonial penjelajahan panjangnya di Eropah, Boakye (sebut Bo-a-che) dipertaruhkan ketua jurulatih itu untuk menambah opsyen di barisan depan di samping menjadi contoh teladan buat pemain-pemain muda dalam pasukan.

WhatsApp Image 2023-06-30 at 16.37.46

JDT cuba mengawal ketat salah seorang pemain Gergasi Merah, Yohandry Orozco. — Facebook/MFL

Bukan selalu untuk sebuah pasukan mendapat seorang pemain yang pernah menjaringkan gol ketika berdepan lawan dalam bentuk Real Madrid yang dibintangi Cristiano Ronaldo, dan skuad Gergasi Merah itu berharap untuk meraih manfaat daripadanya.

“Dia tiba dengan testimonial yang hebat,” kongsi Cheng Hoe dengan Laptop Cabuk. “Kami belum lagi melihat aksi sebenarnya dalam latihan tapi pengalaman luasnya di Eropah selain pernah bersama pasukan Black Stars Ghana dalam kelayakan Piala Dunia adalah mengagumkan.

“Bercakap mengenai seorang pemain import dalam kategorinya, dia bukan seorang yang berusia 33 atau 34 tahun (seperti yang lazimnya datang ke sebelah sini di penghujung kerjaya), tapi baru berumur 30 tahun, usia di kemuncak prestasi.”

Laman Ghana Soccernet melaporkan Boakye, yang menyertai Selangor FC di atas perpindahan percuma dengan kontrak enam bulan, kali terakhir membuat 11 penampilan bersama kelab Libya, Al Akhdar, dan menjaringkan tiga gol sebelum mengakhiri kontraknya 30 Mei lalu.

richmond

Richmond Boakye-Yiadom pernah mewakili Red Star Belgrade di Liga Serbia — Agensi

Penyerang berpengalaman itu dikenali dengan kejayaannya di Itali, di mana dia menyarung jersi kelab terkemuka termasuk Genoa, Sassuolo, Juventus, Atalanta, and Latina. Ia seterusnya membawanya ke kelab Red Star Belgrade dalam Liga Serbia.

Pemain berketinggian 1.86 m (6 kaki 1 inci) itu memenangi empat kejuaraan liga bersama Red Star sebelum meneruskan penjelajahannya bersama Gornik Zabrze (Poland), Beitar Jerusalem dan PAS Lamia (Greece). Selangor FC adalah kelab ke-14 dalam kerjayanya yang bermula di Genoa pada 2010.

Dia turut membuat 19 kemunculan serta tujuh gol untuk skuad kebangsaan Ghana, dengan yang terakhir tiba ketika berdepan Comoros dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Arika 2021 di Cameroon.

Cheng Hoe, yang banyak berahsia mengenai pembelian pemain baru sebelum ini berkatakedatangan Boakye melalui seorang ejen adalah hasil perbincangan dengan pihak pengurusan terhadap perlunya opsyen tambahan di bahagian serangan.

“Kami ada kalanya perlukan barisan pemain berbeza di bahagian serangan. Penggiliran adalah perlu mengikut kesesuaian taktik dan lawan yang akan dihadapi.

“Atas pertimbangan itu, kami rasakan pengalaman luas yang dimiliki Boakye, termasuk pernah bermain di Itali, Sepanyol (ketika dipinjamkan kepada Elche 2013–2014) dan Belanda (Roda JC Kerkrade 2015) boleh menjadi kelebihan,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-30 at 16.38.14

Sharul Nazeem atau Afro cuba mengawal kemas bola daripada disentuh pemain Harimau Selatan. — Facebook/MFL

Boakye melengkapkan kuota sembilan pemain import Selangor FC yang dari awal musim turut membariskan tiga rakan senegaranya dari Ghana, Richmond Tetteh Ankrah, 23, Rauf Salifu, 21, dan Alex Agyarkwa, 23.

Daripada asalnya seorang Richmond di barisan pertahanan – yang tampil dalam tujuh perlawanan liga setakat ini -- kini mereka memiliki dua, dengan panggilan nama tengah Boakye sebagai membezakan di antara kedua-duanya.

“Kehadiran Richmond, Rauf dan Alex tentunya akan membuat Boakye berasa tidak terlalu asing. Ini akan membantunya untuk lebih cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan persekitaran baru (paling hampir dia dengan Malaysia ialah ketika semusim bersama kelab liga China, Jiangsu Suning, pada 2018),” ujarnya.

Boakye, yang baru sehari menyertai latihan Selangor FC pada Rabu dan sekadar melakukan latihan ringan, tidak dicadangkan untuk diturunkan dalam perlawanan liga dalam masa singkat.

Dengan jendela perpindahan kedua hanya akan dibuka bermula 5 Julai, perlawanan terdekat yang melayakkannya beraksi ialah ketika Selangor FC berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 9 Julai.

WhatsApp Image 2023-06-30 at 16.38.14 (1)

Hatrik Arif Aiman punca Gergasi Merah gagal mara ke final Piala FA. — Facebook/MFL

Ia akan menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan oleh penyokong kedua-dua pasukan, dengan skuad Tok Gajah itu akan menampilkan penyerang import baru, kemungkinan penyerang kebangsaan Liberia, William Jebor, seperti yang diura-urakan.

“Kami tidak akan tergesa-gesa untuk menurunkan Boakye. Biarlah dia membentuk persefahaman yang baik dengan rakan sepasukan terlebih dahulu.

“Sebagai pemain berpengalaman yang sudah banyak berperjalanan, dia nampak yakin dan tidak sabar untuk menunjukkan kemampuannya. Ini biasa bagi pemain hebat sepertinya.

“Mungkin dia akan disenaraikan dalam skuad 18 pemain untuk menghadapi Pahang dan kita lihat nanti bagaimana,” kata jurulatih itu.

Cheng Hoe turut ditanya mengenai kekalahan dengan keputusan serupa 4-0 kepada JDT, dengan pertemuan terakhir dalam liga di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), 17 Mac lalu, sebagai membayangkan jurang yang masih wujud di antara kedua-duanya.

“Jurang dengan JDT sejak perlawanan liga itu dan separuh akhir Piala FA belum dirapatkan. Saya mahu katakan yang kami sudah meningkat sedikit sejak itu tapi belum cukup untuk bersaing dengan mereka.

“Fokus kami kini beralih semula kepada liga. Pemain-pemain juga beransur-ansur berganjak daripada kekalahan itu daripada segi psikologi. Kami perlu melupakannya, berganjak ke hadapan dan berusaha untuk terus meningkat,” katanya lagi.

Ketibaan Boakye dalam pada Selangor tercari-cari tambahan kuasa ledakan di barisan depan, harus tepat pada masanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram