Alex Ferguson sanggup 'korbankan' kehidupan demi bola sepak


  • Podium
  • Khamis, 29 Jun 2023

Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson kini sudah berusia 81 tahun. — Agensi

DIIKTIRAF sebagai salah seorang pengurus terbaik sepanjang zaman, Sir Alex Ferguson mendedahkan pencapaian itu tidak akan hadir tanpa ‘mengorbankan’ kehidupan alam dewasanya.

Ferguson yang kini berusia 81 tahun memahat sejarah bola sepak dengan membimbing The Red Devils mengungguli 13 gelaran Liga Perdana Inggeris antara tahun 1992 hingga 2013 selain menjulang lima kejuaraan Piala FA, empat Piala Liga dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Menerusi satu dokumentari eksklusif yang menceritakan tentang kehidupan peribadinya “Never Give In”, bekas pengendali Manchester United itu mendedahkan kejayaan agung itu tidak hadir tanpa masalah di luar padang dan ada harga yang perlu dibayar.

“Saya mengorbankan kehidupan dewasa saya untuk menjadi seorang pengurus bola sepak.

“Cathy (isteri Ferguson) yang mengambil tugas dalam membesarkan anak-anak, kalau kamu nak tahu," katanya.

Ferguson dan Cathy mendirikan rumah tangga selama 57 tahun dan mempunyai tiga orang cahaya mata, salah seorang daripadanya adalah Jason yang mengarahkan dokumentari tersebut.

“Jika diimbas semula, saya jarang mendapat peluang itu untuk membesarkan anak-anak, tetapi Jason menyedarkan saya bahawa saya mempunyai kerjaya sebagai seorang pengurus yang cemerlang.

“Tetapi bukanlah bermaksud saya angkuh apabila berkata sedemikian, tetapi apabila merumuskan keseluruhannya, ia cukup mengagumkan dan saya boleh berbangga dengan semua pencapaian itu.

“Tetapi untuk mencapai kejayaan seperti ini, istilah ‘berkorban’ akan datang sepanjang masa. Jika anda ingin berjaya dalam hidup, anda perlu berkorban.

“Bukan setakat kehidupan berkeluarga sahaja diabaikan tetapi anda perlu mempunyai dorongan dan jati diri yang kuat untuk berdepan dengan pelbagai perkara untuk memilih di antara kehidupan berkeluarga dan menguruskan pasukan bola sepak," kongsinya.

Ferguson memilih untuk bersara dan meninggalkan Manchester United pada 2013 selepas membawa pasukan tersebut memenangi kejuaraan EPL ke-13 dan digantikan oleh David Moyes.

Sejak itu legasinya juga sedikit demi sedikit berakhir setelah beberapa bekas pemain pentingnya turut mengangkat kaki seperti Wayne Rooney, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Rio Ferdinand yang bersara dan menyertai kelab lain.

Pengurus berbangsa Scotland itu mengakui sukar untuk melihat satu demi satu bekas pemainnya meninggalkan Old Trafford.

“Saya rasakan tahun pertama selepas bersara adalah cukup ganjil buat hidup saya.

“Saya bukanlah mahu menjadi terlalu kritis, tetapi apabila saya melihat segelintir pemain saya meninggalkan kelab, saya sukar untuk menerimanya," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram