JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA selepas menundukkan Selangor FC dengan keputusan 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Isnin.
Dalam perlawanan tersebut, hatrik daripada bintang muda JDT, Arif Aiman berjaya membantu pasukan Harimau Malaya mara ke peringkat akhir menentang juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 22 Julai depan.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang kurang menyenangkan penyokong bola sepak tanah air apabila salah seorang pemain import Harimau Selatan, Corbin Ong dikatakan tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan.
Pemain pertahanan kiri JDT, Corbin Ong. — Facebook/MFL
Rentetan itu, ada segelintir penyokong memberikan pendapat mereka mengenai pemain yang dilihat bersikap kurang patriotik.
"Corbin Ong memang tak ada rasa nak belajar Negaraku ke? Dah 5 tahun duduk sini," kata @AfiqShari.
"Dia sakit tekak, tak boleh nyanyi," kata @pasupecah_.
Tetapi bagi sesetengah penyokong bola sepak tanah air, ia bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan memandangkan kemungkinan pemain berdarah kacukan Malaysia-Kanada itu mempunyai alasan yang tersendiri.
"Stop lah pasal Negaraku, pergilah tanya dia depan-depan, kadang ada ja player tak nyanyi sebab nak fokus game," kata @AyeepHydra.
Untuk rekod, pemain pertahanan kiri Harimau Selatan itu beraksi bersama kelab Belanda, Go Ahead Eagles sebelum menempah nama bersama skuad gergasi tanah air tersebut pada 2018.
Corbin Ong merupakan salah satu pemain yang turut terpalit dengan kontroversi tidak menyanyikan lagu Negaraku.
Sebelum ini, timbul isu yang sama apabila beberapa pemain naturalisasi dan warisan didakwa tidak menyanyikan lagu kebangsaan ketika perlawanan persahabatan antarabangsa.
Isu tersebut berbangkit apabila ada yang kurang berpuas hati dengan sikap segelintir pemain naturalisasi dan warisan yang dilihat kurang patriotik.
Hal ini kerana, adalah menjadi satu keperluan dalam dunia bola sepak, kedua-dua pasukan akan menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing terlebih dahulu sebelum pengadil bertugas meniup wisel untuk memulakan perlawanan tersebut.
Rentetan itu, ada segelintir penyokong setia skuad kebangsaan nampaknya kurang berpuas hati dengan beberapa pemain naturalisasi dan warisan yang dilihat tidak menyanyikan lagu Negaraku apabila kamera merakam wajah mereka.
Oleh itu, dalam satu temu bual bersama pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal tampil mempertahankan rakan sepasukannya yang kononnya tidak boleh menyanyikan lagu kebangsaan.
Pemain kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mempersoal dakwaan berkenaan dan menyatakan barangkali ada kemungkinan lain yang penonton sendiri tidak tahu.
"Macam mana kau tahu dia tak boleh nyanyi (Negaraku), itu dalam televisyen, tapi mungkin suara dia sakit kah apa," katanya dalam rakaman interviu yang dimuat naik Flash Sukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram