PASUKAN Sabah FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh di laman pihak lawan apabila menang mudah ketika menentang Kelantan United FC (KUFC) dengan keputusan 3-0 pada Isnin.
Skuad Sabah FC antara pasukan yang memulakan kempen Liga Super 2023 dengan menampilkan prestasi cemerlang dan konsisten pada awal musim liga berlangsung.
Bagaimanapun, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee (DOKS) nampaknya mengalami kesukaran untuk mengekalkan prestasi tersebut berikutan kelekaan yang dihadapi oleh pasukan tersebut.
Bukan sahaja barisan pemain pertahanan dan jentera serangan malah penjaga gol Sang Badak turut dikesan mengulangi kesilapan yang sama kerap dilakukan.
Prospek penjaga gol warisan, Hugo Ng.
Walaupun DOKS sering memberi peluang kepada dua penjaga gol utama The Rhinos untuk beraksi, namun, kedua individu itu nampaknya sukar untuk mengekalkan momentum yang baik kerana tidak berjaya menjaga rapi gawang pasukan mereka sendiri.
Dua penjaga gol Sang Badak yang sering diturunkan oleh DOKS ialah Khairul Fahmi Che Mat dan Damien Lim yang masing-masing mempunyai pengalaman bermain bersama skuad kebangsaan.
Oleh itu, terdapat khabar gembira buat penyokong setia Sang Badak berikutan kemunculan prospek penjaga gol warisan Malaysia yang pastinya memberikan impak luar biasa kepada skuad kebangsaan mahupun kelab Sabah itu sendiri.
Ini kerana, pemain muda yang dikenali sebagai Hugo Ng itu merupakan bintang berketurunan Malaysia sedang mencipta nama di luar negara.
Meskipun baru berusia 14 tahun namun prospek pemain warisan itu memiliki kelebihan yang dilihat cukup sempurna sebagai seorang penjaga gol kerana ketinggian yang luar biasa iaitu 1.82 meter.
Dengan status sebagai pemain warisan juga, dia berpeluang untuk mewakili skuad Harimau Malaya pada masa depan kerana ayahnya merupakan orang Sabah manakala ibunya berasal dari Australia.
Kini, dikhabarkan Hugo beraksi bersama salah satu kelab bola sepak di Australia Selatan dan memasang impian untuk beraksi bersama skuad kebangsaan suatu hari nanti.
Oleh itu, skuad The Rhinos memiliki peluang yang cerah untuk mendapatkan pemain muda itu untuk dibawa sebagai pelapis pasukan Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram