'Ingat main Liga Malaysia biasa?', Penat dengan kecaman, Saddil Ramdani sekolahkan fans Garuda


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Saddil mencetak satu jaringan gol dan dua hantaran bantuan kepada Stuart Wilkin dan Baddrol Bakhtiar pada aksi Liga Super menentang KUFC pada Isnin. — Facebook/Sabahfc

SELEPAS merekodkan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Super, Sabah FC kembali menemui rentak kemenangan apabila mengatasi Kelantan United FC (KUFC) 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Kemunculan semula tonggak sayap Indonesia, Saddil Ramdani selepas diketepikan empat perlawanan Liga Super susulan masalah kecederaan sememangnya menambah tonik tambahan buat The Rhinos pada aksi tersebut.

Buktinya, dalam aksi ke-15 liga tersebut, tonggak berusia 24 tahun itu menjadi pemain yang banyak memberi sumbangan dengan mencetak satu jaringan gol dan dua hantaran bantuan kepada Stuart Wilkin dan Baddrol Bakhtiar.

Malam sempurna Saddil begitupun sedikit terganggu pada Selasa apabila bekas pemain Pahang itu meluahkan rasa kecewanya terhadap penyokong Indonesia yang sering membandingkan persembahannya di Sabah dan ketika menyarung jersi kebangsaan.

Sememangnya statistik Saddil untuk Sabah FC pada musim 2023 cukup menggagumkan iaitu menjaringkan lima gol dan empat bantuan dalam tempoh 10 perlawanan dia diturunkan.

Sementara itu, ketika dalam pasukan kebangsaan Indonesia, Saddil hanya menjaringkan satu gol dalam 22 penampilan dan disebabkan perkara itu pemain lincah tersebut dihujani kata-kata negatif dari penyokong Garuda.

WhatsApp Image 2023-06-27 at 15.26.32

Saddil mendapat kecaman daripada penyokong Indonesia susulan prestasinya bersama pasukan kebangsaan. — Instagram/Saddil

“Hello, sebenarnya saya tidak mahu membalas komen yang selalu mahu menjatuhkan mental saya. Tapi hari ini (Selasa) saya ada sedikit komen untuk membela diri sendiri, kenapa? Sebab awak tak nampak situasi saya dan kawan-kawan yang lain di pasukan kebangsaan.

"Jadi mengapa anda membandingkan persembahan saya dengan pasukan kebangsaan dan kelab berbeza? Ya, ia berbeza, saya benar-benar sebagai pemain memerlukan minit permainan dan kebebasan untuk bermain.

"Adakah kita diberi begitu dalam pasukan kebangsaan? Tidak sama sekali!!! Anda hanya melihatnya dari sudut yang tidak masuk akal, bermain hanya 15 minit 20 minit atau bahkan 7 minit dan kemudian anda berkata dia tidak boleh bermain. dalam pasukan negara,” katanya menerusi laman Insta Story pada Selasa.

Tambahan pula, Saddil turut menegaskan pemain memerlukan ruang untuk meningkatkan kemahiran dan dia meminta agar penyokong lebih memberi kritikan membina pada masa hadapan, bukannya menghina usaha mereka.

Bukan itu sahaja, Saddil juga sempat mengdiamkan mulut penyokong negara jiran yang mempersoalkan keputusannya beraksi di Liga Malaysia (Liga M) dan menjelaskan bahawa dia juga memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri kancah domestik.

WhatsApp Image 2023-06-27 at 15.26.31-2

Tangkap layar luahan Saddil.

"Dan perkara terakhir yang anda katakan bermain dalam Liga Malaysia adalah perkara biasa? Hahah, berapa ramai orang yang telah pulang dan tidak dapat bermain di sini kerana tekanan dan permintaan yang pelbagai, jika anda tidak percaya, cuba sahaja. Saya harap lebih ramai pemain bermain di sini.

“Adakah anda fikir mudah untuk menyesuaikan diri di sini? Saya mengambil masa tiga tahun untuk menyesuaikan diri supaya saya dapat menyesuaikan diri dengan jurulatih dan pengurusan pasukan, saya bukan sesiapa di sini, anda faham?

“Saya tidak mempunyai ejen untuk berbincang di sini, tetapi saya bersyukur kerana mempunyai jurulatih @kurniawanqana (Kurniawan Dwi Yulianto) yang membuka jalan kepada saya untuk terus bekerja keras supaya saya diberi lebih banyak minit permainan atau lebih banyak kerja tambahan di sini untuk membantu pasukan, bukan untuk diri saya sendiri,” tutupnya.

Sejak menyertai Sabah FC pada musim 2021, Saddil sudah mencetak 13 jaringan gol dan 14 hantaran bantuan buat The Rhinos, selain dia juga antara watak utama yang membawa pasukan Borneo itu ke saingan Piala AFC musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram