Tak sempat rekod penampilan dengan TRW, Siringoringo dah beri klu sertai kelab lain?


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Selepas hampir setahun bersama Dewa United, Siringoringo diumumkan kembali memperkuatkan TRW pada pusingan kedua Liga M. — Instagram/Siringoringo

BARU-BARU ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Kelantan FC kini dikenakan sekatan perpindahan pemain susulan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan itu.

Memetik laporan Harian Metro, perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang memaklumkan surat pemakluman itu sudah diserahkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan turut diberikan kepada Kelantan FC.

Walaupun pemilik TRW, Norizam Tukiman sudah menyatakan bahawa pihaknya akan menyelesaikan perkara itu, namun masih ramai yang meragui usahawan berkenaan.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kebelakangan ini banyak pemain skuad The Red Warriors (TRW) yang sudah 'angkat kaki' bagi mengelak diri daripada menjadi pemain tanpa gaji.

Masa depan samar-samar membuatkan ramai penyokong menjangkakan akan ada lagi pemain yang bakal mengikut jejak rakan sepasukan mereka untuk mencari majikan baharu pada jendela perpindahan kedua ini.

Antara pemain yang dikatakan akan menjadi tonggak TRW seterusnya bakal berhijrah ke pasukan lain ialah pemain sayap lincah dari Indonesia, Natanael Siringoringo atau mesra dengan sapaan Ringgo.

Menerusi laman Insta Story pemain berusia 23 tahun itu, Siringoringo dilihat memuat naik gambarnya menonton perlawanan seteru setempat Kelantan United FC (KUFC) menentang Sabah FC pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-06-27 at 19.08.43

Tangkap layar Insta Story Ringgo.

Ada yang berpendapat Siringoringo hanya turun sekadar menyokong rakan senegaranya, Saddil Ramdani susulan pada hantaran tersebut, bekas pemain Dewa United itu menyertakan nama tonggak Sabah FC tersebut.

Namun melihat kepada keadaan TRW, adalah tidak mustahil jika Siringoringo berfikir-fikir untuk menyertai pasukan baharu dan hantaran tersebut adalah klu pemain muda itu akan menyarung jersi KUFC.

Skuad Kijang Hijau mungkin akan menjadi pilihan utama Siringoringo berikutan terdapat beberapa pemain TRW sudah berhijrah ke pasukan itu seperti Ismahil Akinade yang disahkan menyertai KUFC pada Isnin.

Untuk rekod, selepas mendapat lanjutan kontrak bersama Kelantan, Siringoringo dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia iaitu Dewa United pada musim 2022 yang mana pemain itu mencetak dua gol dalam 27 perlawanan sepanjang musim.

Selepas hampir setahun bersama Dewa United, Siringoringo diumumkan kembali memperkuatkan TRW bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram