Sedekad lalu, Safee 'percaya' gandingan dengan Mat Yo mampu julang Piala FA bersama JDT


  • Podium
  • Rabu, 28 Jun 2023

Safee Sali ketika mewakili JDT pada 2013.

JOHOR Darul Takzim (JDT) membuktikan gelaran mereka sebagai raja bola sepak Malaysia moden selepas mudah menundukkan Selangor FC dalam perlawanan separuh akhir Piala FA dengan keputusan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.

Harimau Selatan, sekali lagi berjaya layak ke pentas akhir Piala FA selepas memenangi kejohanan itu pada musim lalu apabila menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 September 2022.

Namun 10 tahun lalu, pada 28 Jun 2013 sehari sebelum perlawanan akhir Piala FA, penyerang legenda Harimau Malaya, Mohd Safee Sali yakin gandingan dia bersama Norshahrul Idlan Talaha mampu membantu JDT memenangi kejuaraan itu.

Safee dan Norsharul membentuk gandingan berbahaya di jentera searangan JDT yang mana mereka menjaringkan tujuh gol untuk membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki pertama pada 2010.

Pada 2013, gandingan duo itu gagal bergandingan bersama di JDT selepas Safee banyak memberi tumpuan memulihkan kecederaannya.

"Saya akhirnya bebas daripada kecederaan dan ia melegakan saya dan pasukan.

“Saya mahu memberikan sesuatu kembali kepada JDT, bola sepak Johor sedang melalui revolusi dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya," kata Safee, yang dipinjamkan selama semusim dari kelab Indonesia, Arema FC.

Malangnya, Kelantan FC ketika itu dibimbing oleh Bojan Hodak berjaya menewaskan JDT dengan keputusan 0-1 hasil jaringan Mohd Norfarhan Muhammad selepas menerima hantaran kapten, Mohd Badhri Mohd Radzi.

Pentas akhir Piala FA 2023 sekali lagi bakal menemukan Bojan Hodak dengan JDT yang mana jurulatih kelahiran Croatia itu pernah menewaskan Harimau Selatan di final Piala Malaysia 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram