KERAJAAN ketika ini difahamkan akan melaksanakan inisiatif untuk menempatkan pekerja asing yang tidak bekerja dengan majikan baharu bagi menjaga aspek kebajikan mereka.
Ia susulan lambakan pendatang membabitkan warga Bangladesh yang dibawa masuk menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu didapati tiada pekerjaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi pengambilan pekerja asing atau majikan yang membawa masuk mereka telah dikenal pasti dan tindakan akan diambil terhadap syarikat berkenaan termasuk disenarai hitam.
Untuk itu, kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif untuk menempatkan pekerja terbabit dengan majikan baharu bagi menjaga aspek kebajikan mereka.
Langkah itu dilihat sebagai salah satu usaha untuk membela nasib golongan berkenaan yang dikatakan seperti ditipu oleh syarikat agensi yang membawa mereka ke negara ini.
Namun, perkara itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk netizen yang mendakwa langkah kerajaan itu tidak praktikal dan berisiko mengundang masalah sekiranya warga asing diberikan bantuan berterusan.
Antara pendapat yang disuarakan termasuk keperluan untuk kerajaan menstrukturkan semula senarai pemegang IC merah dan pekerja asing di negara ini.
"Sebelum nak tolong mereka, lebih baik kerajaan pantau status IC sama ada betul datang secara sah ataupun haram, kalau dibantu semuanya habis anak tempatan kita dipinggirkan.
"Sebelum ini, kerajaan ada nak bantu golongan Rohingya lanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, sekarang nak bagi peluang pekerjaan pula, kenapa kerajaan terlampau ambil berat sangat dengan pendatang," kata Aizad Naja Zk.
Dalam pada itu, seorang lagi warganet dikenali sebagai Ramlan Mahat menganggap perkara itu sebagai langkah yang memakan diri.
"Pendatang dibela, rakyat sendiri diabaikan. Akhirnya nanti dengan kita pun dia besar kepala, diberi kerja dan tempat tinggal.
"Paling utama periksa status mereka semua, terlampau banyak sangat pendatang di negara kita pun tak elok, boleh menjejaskan keselamatan penduduk tempatan," jelasnya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin difahamkan tiada halangan untuk memberikan pelarian Rohingya peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Ditambah pula dengan kenyataan Saifuddin Nasution Ismail yang mahu memberikan majikan serta peluang pekerjaan baharu buat pendatang tanpa kerja, situasi itu nyata kurang digemari dan mendapat tentangan masyarakat Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram