SEBUAH lori kontena yang merempuh pagar dan pondok kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Perak telah mengakibatkan seorang anggota polis cedera dalam kejadian berlaku pada awal pagi Rabu itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 1.20 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima pangggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba jentera ke lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena melanggar pagar dan pondok polis IPD Tapah.
"Terdapat seorang anggota polis yang sedang bertugas di pondok kawalan dan mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, ketua operasi mengaplikasikan konsep menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkaply Hamad tamat pukul 1.49 pagi.
Nasib pemandu lori berkenaan tidak diketahui dan punca kejadian juga tidak dinyatakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram