SKUAD Sri Pahang FC seolah-olah ketandusan perancang di bahagian tengah apabila hanya bergantung harap kepada kredibiliti Nor Azam Azih sejak beberapa musim.
Azam Azih yang juga merupakan pemain kebangsaan, sememangnya antara watak penting bagi pasukan Tok Gajah dengan kelibatnya sentiasa membantu jentera serangan menerusi lorongan berkualiti dan hantaran lencong yang tepat menemui sasaran.
Namun, kecemerlangan Pahang yang selama ini dilihat bergantung kepada pemain itu dikatakan akan berkurangan sekiranya dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke kelab lain pada musim akan datang.
Justeru, penyokong menggesa pengurusan kejurulatihan Tok Gajah segera memburu beberapa tonggak berpotensi untuk dibawa masuk sebagai pengganti Azam Azih bermula dari sekarang.
Tidak hairanlah, ada tiga prospek di Liga M5 Pahang Amateur League (PAL) menjadi bualan hangat penonton dengan pemain-pemain ini menjadi sandaran utama untuk dibawa masuk ke skuad utama Pahang.
Barisan pemain Jerantut FC yang beraksi di saingan Liga M5 Pahang Amateur League (PAL). — Facebook/JerantutFC
Asyraf Sharqawi
Merupakan pemain pasukan Jerantut FC di Liga M5, kelibat pemain di posisi tengah itu semakin mendapat perhatian ramai dengan persembahan cemerlang dipamerkan di saingan tersebut.
Mampu melakukan sepakan dari jarak jauh, kedua-dua belah kakinya memiliki kebolehan membuat sepakan kuat yang mampu menghasilkan gol.
Tajam di bahagian serangan, Asyraf Sharqawi sentiasa berjaya memenangi perebutan dalam situasi bola mati khususnya dari jarak jauh.
Muhd Firdaus Asri
Juga beraksi dalam pasukan sama iaitu Jerantut FC, Muhd Firdaus Asri berperanan sebagai pemain tengah kedua di belakang Asyraf Sharqawi.
Di saingan Liga M5, Jerantut FC baru sahaja selesai menghadapi perlawanan kedua mereka menentang pasukan di tangga tercorot liga iaitu FC Temerloh Jaya.
Temerloh Jaya melakukan kejutan apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke 13 melalui Syazwan Johari namun Jerantut kemudiannya membalas dengan gol pernyamaan oleh Asyraff Syarqawi sebelum perlawanan berhenti rehat.
Bersambung di babak kedua, Firdaus Asri menambah dua gol pada minit ke 61 dan 80+4 untuk membolehkan pasukan itu pulang dengan tiga mata untuk mengekori rapat Vieura Wagga di takhta liga.
Mohamad Adam Shukri
Pemain muda Jerantut FC, Mohamad Adam Shukri juga dikatakan antara calon terbaik menggantikan Azam Azih kelak.
Berusia 17 tahun, pemain ini mempunyai masa depan cerah yang mampu menyinar sekiranya dibawah kendalian jurulatih Fandi Ahmad.
Tidak dinafikan bahawa, pengalaman pemain ini masih terhad di saingan yang lebih kompetitif namun melihatkan bakat serta skil kawalan bola dimiliki, Adam Shukri dijangka mampu mengikut jejak pemain sensasi Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Arif Aiman sekiranya dia diberikan peluang.
Oleh itu, skuad Tok Gajah kini mempunyai barisan pilihan pemain berkualiti dari Liga M5 yang jauh lebih baik berbanding pemain import yang nyata memerlukan kos perpindahan tinggi.
Dengan prestasi memberansangkan dipamerkan Azam Azih ketika ini, tidak mustahil sekiranya kelab lain akan merampas pemain itu pada satu hari nanti dan Pahang amat memerlukan satu perancangan bagi mengelak posisi itu kehilangan individu berkualiti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram