Bakal bertemu China, 5 pemain HM pernah bergelar 'wonderkid' mampu ulangi pencapaian cemerlang 2019


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Beberapa pemain kebangsaan sebelum ini pernah diturunkan beraksi menentang China dalam saingan kelayakan Kejuaraan (B-23) AFC 2019. — FAM

SKUAD Harimau Malaya disahkan bakal membuat perhitungan dengan pasukan China dalam satu perlawanan persahabatan pada September nanti.

Perkara itu dikongsikan oleh ASEAN Football dengan anak-anak buah Kim Pan-gon bakal beraksi sebagai pasukan pelawat di stadium tempat lawan bagi membuat persiapan menjelang Piala Asia tahun depan.

Selepas berjaya memperoleh kemenangan bergaya dalam dua siri persahabatan tempoh hari lalu menentang Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, Malaysia nyata berada di landasan tepat untuk ke Kejohanan peringkat Asia tersebut.

Dengan perlawanan seterusnya bakal menemukan skuad kebangsaan dengan negara Tembok Besar itu, ia pastinya menjadi tumpuan penonton untuk melihat sejauh manakah keberkesanan taktikal diguna pakai Pan-gon untuk berhadapan dengan pasukan yang berada di ranking jauh lebih tinggi.

Pernah bertemu pada 2019, satu perkara yang mungkin boleh dijadikan tonik terbaik untuk skuad negara mengulangi pencapaian terbaik ketika itu adalah, Malaysia masih mempunyai lima pemain 'wonderkid' yang dimiliki pada perlawanan terbabit.

gays

Kesebelasan utama Malaysia ketika bertemu skuad China pada 2019. — Facebook/FAM

Ketika itu, skuad kebangsaan terikat 2-2 pada aksi terakhir Kumpulan J dalam saingan kelayakan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) 2020 di Stadium Shah Alam, Selangor.

Pasukan negara yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee pada waktu itu telah menyenaraikan barisan pemain terbaik dalam pertemuan tersebut yang menyaksikan lima wajah sama masih dimiliki pada ketika ini.

Kekal sebagai tonggak utama skuad kebangsaan hingga ke hari ini, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari dan Dominic Tan antara yang berpotensi untuk dijadikan senjata rahsia menjelang pertemuan itu nanti.

Diibaratkan sebagai misi membalas dendam, Harimau Malaya berpeluang untuk menebus kekecewaan pada perlawanan empat tahun lalu yang menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan dua jaringan awal dimiliki selepas berjaya disamakan dengan dua gol hasil tandukan pemain China.

Skuad kebangsaan mencatatkan keputusan seri dalam pertemuan dengan pasukan China pada 2019.

Dengan kelima-lima pemain itu yang masih kekal konsisten di bawah kendalian Pan-gon, dua perlawanan persahabatan sebelum ini turut menyaksikan persembahan cemerlang berjaya dipamerkan meskipun mereka digandingkan dengan pemain baharu.

Safawi Rasid yang kerap menerima kritikan kebelakangan ini tampil dengan kelas tersendiri apabila berjaya menjaringkan gol bertaraf 'Puskas' ketika menentang Kepulauan Solomon sekali gus menutup segala kecaman penonton yang meragui prestasinya.

Meskipun gelaran 'wonderkid' ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Arif Aiman, namun dengan pengalaman serta skil yang semakin mendewasa dimiliki pemain di atas, diyakini mampu membuahkan hasil dalam perlawanan itu nanti.

Untuk rekod, pasukan China kini berada di ranking ke-81 dunia manakala Malaysia di kedudukan ke-136 dunia selepas berjaya menambah sebanyak 4.24 mata hasil kemenangan menentang Papua New Guinea minggu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram