[VIDEO] Tipu upah badal Haji, sindiket disyaki guna muka Melayu sebagai bukti di Makkah


  • Tular
  • Selasa, 27 Jun 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki didakwa menjalankan sindiket upah badal Haji di Makkah.

SEKUMPULAN lelaki didakwa menjalankan sindiket upah badal Haji di Makkah apabila mengaut keuntungan daripada waris si mati dengan cara haram.

Perbuatan itu dibongkarkan menerusi perkongsian di laman Facebook pada Rabu memaparkan tindakan kumpulan terbabit yang menggunakan khidmat 'pelakon' sebagai bukti ibadah tersebut.

Menjadikan pemuda berwajah Melayu sebagai sasaran, si pelaku dipercayai memberikan upah antara RM60 sehingga RM120 bagi mereka yang dilantik untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Situasi itu dirakamkan menerusi video berdurasi 51 saat dan hangat diperkatakan warganet.

Dalam pada itu, helaian kertas digunakan sebagai bukti ibadah itu dilakukan turut kelihatan bersepah di sekitar kawasan berkenaan dipercayai dibuang oleh sindiket terbabit.

Lebih menyedihkan, rata-rata dokumen itu menunjukkan butir diri jemaah dari Malaysia dan sekali gus menguatkan lagi stigma terhadap kegiatan haram dilakukan si pelaku.

Salah seorang warganet mempertikaikan ibadah upah haji dilakukan individu berkenaan yang dianggap tidak mematuhi syarat sah badal Haji.

"Badal Haji, persoalannya boleh ke buat sampai 10/20 nama, dalam satu masa mana boleh buat sekali ramai," kata Ajim Fairuz.

"Sindiket penipuan ni, mana boleh buat ramai-ramai semoga kita dijauhkan daripada anasir macam ini," ujar Abu Nur Aqilah.

"Kesian orang yang bayar, kalau larat pergi sendiri elok buat la sendiri, upah badal Haji sekarang dah tak berkesan ramai ambil kesempatan," tambah Myzie Azlee.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu tersebut setakat ini dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram