'Pernah menang Piala AFC', Pro-kontra Moses Atede Jona sertai Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 28 Jun 2023

Moses akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan Sang Kenari.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan ketibaan pemain import baharu, Moses Atede Jona yang akan bergandingan bersama Manuel Ott di bahagian tengah menjelang jendela perpindahan kedua Julai nanti.

Moses mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak bersama Sang Kenari bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu yang berasal dari Kaduna, Nigeria mempunyai kerakyatan Bahrain dan akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan Sang Kenari.

Ini merupakan cabaran pertama Moses beraksi di luar negara selepas hampir lima tahun bermain dalam Liga Bahrain.

Selain Moses, pihak pengurusan Kedah mengumumkan ketibaan penyerang import baharu iaitu Ifedayo Olusegun yang akan menggantikan Willian Lira yang memutuskan untuk menamatkan kontrak lebih awal.

Majoriti senaraikan pro-kontra Moses menyertai Hijau Kuning menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia nanti:

Pro

Profil Moses yang dikongsikan pasukan Kedah. Facebook/KDA FC

1. Tenaga muda

Kehadiran Moses yang baru berusia 25 tahun itu dilihat mampu memberikan tenaga tambahan di posisi jentera tengah KDA FC.

Moses yang lebih kerap beraksi di posisi tengah bertahan mampu menstabilkan jentera tengah Hijau Kuning yang mana ia merupakan kawasan bermasalah jika Kedah diserang pihak lawan.

Moses sebelum ini beraksi dengan Al-Hidd SCC sebelum mula mencipta nama bersama Al-Muharraq SC pada 2021 sehingga 2023.

2. Mentaliti juara

Semasa beraksi bersama Al-Muharraq SC, Moses adalah pemenang Piala AFC 2021 yang mana ia merupakan kejohanan terbesar di Asia selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Dengan Kedah yang memasang impian untuk kembali ke Asia selepas beraksi di pentas AFC musim lalu, anak-anak buah Nafuzi Zain pastinya menagih aura positif daripada Moses.

Kehadiran Moses juga mungkin dapat melancarkan serangan taktikal 'Nafuzi Ball' yang mana pemain seperti Lee Tuck atau Amirbek Juraboev tidak perlu turun membantu benteng pertahanan semasa diserang pihak lawan.

Kontra

1. Risiko tidak serasi

Umum mengetahui Liga Malaysia memerlukan pemain import yang perlu cepat menyesuaikan diri jika mahu menambat hati penyokong pasukan masing-masing.

Hadir selepas 14 perlawanan, Moses perlu cepat mengadaptasi corak permainan yang ingin dimainkan oleh Nafuzi Zain.

Ramai pemain import yang hadir semasa pusingan kedua liga tidak 'perform' sekali gus tidak mendapat tempat dalam pasukan pada musim hadapan.

2. Tekanan penyokong

Kehadiran Moses ke bumi Darul Aman pastinya akan meletakkan jangkaan tinggi terhadap pemain kelahiran Nigeria itu.

Terutamanya dengan resume yang dibawa Moses, pastinya penyokong mengharapkan ada magis dibawa pemain tengah bertahan berkenaan.

Moses juga pasti tidak terkecuali untuk berdepan perkara itu dengan barisan kejurulatihan pastinya meletakkan tanggungjawab besar di bahu pemain tersebut.

Oleh itu, Moses akan terasa bebanan daripada penyokong Kedah dan perkara itu sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepadanya untuk memudahkan taktikal 'Nafuzi Ball'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram