'Bukan satu, tapi dua', Ifedayo sah pengganti Lira di Kedah


  • Podium
  • Rabu, 28 Jun 2023

Ifedayo antara salah seorang pemain yang dibawa Kedah menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. — Facebook/KDA FC

"BUKAN satu, tapi dua."

Itulah 'hint' yang diberikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran menerusi satu ciapannya di Twitter berkenaan satu posting yang dimuat naik oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Rabu.

KDA FC menerusi laman rasmi Facebook memuat naik satu gambar bersama ayat dalam bahasa inggeris 'New chapter, new story. We are all witnesses.'

Avineshwaran memberi gambaran bahawa skuad Sang Kenari akan menandatangani dua pemain baharu dan bakal mengumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, KDA FC dikaitkan dengan beberapa pemain import baharu selepas Willian Lira memutuskan untuk menamatkan kontrak lebih awal.

Keputusan yang dibuat oleh Lira itu ternyata mengejutkan seluruh penyokong Sang Kenari selepas dia tampil cemerlang bersama Kedah.

Pemain berusia 29 tahun itu antara penjaring terbanyak Kedah selepas menjaringkan lapan gol dalam 14 perlawanan dan melakukan bantuan assist.

Namun persoalan kepada salah satu pemain yang akan dibawa oleh Kedah sudah pun terjawab apabila Ifedayo Olusegun diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan Sang Kenari pada Rabu.

Ifedayo mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak bagi baki musim 2023 bersama Hijau Kuning.

Sebelum ini, Ifedayo tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas dilepaskan Melaka United dan berkontrak sebagai ejen bebas.

Kelibat Ifedayo tidak asing lagi dalam Liga Malaysia dengan pengalaman bersama Felda United, Melaka dan Selangor antara faktor pilihan pengurusan memudahkan dia untuk segera mencari keserasian dengan rakan sepasukan di kem Sang Kenari.

Reputasi pemegang Kasut Emas dua tahun berturut-turut, penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol (12 gol musim 2020, 26 gol musim 2023), sehinggakan di gelar 'King Dayo' ketika bersama Selangor FC bakal menjadi pengganti terbaik Lira.

Namun menjadi persoalan, siapakah pemain kedua yang akan diumumkan KDA FC? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram