'Main macam PDRM FC lagi baik', hatrik Arif Aiman iringi JDT ke pentas akhir Piala FA


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Antara aksi perlawanan di antara JDT dan Selangor FC ketika aksi separuh akhir Piala FA.

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus mengajar Selangor FC erti permainan bola sepak sebenar selepas membelasah Gergasi Merah dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada Isnin.

Selangor yang hadir dengan misi hidup mati gagal menghalang kemaraan JDT daripada terus bermaharajalela sepanjang permainan.

Pemain Paling Bernilai (MVP) 2022, Arif Aiman Hanapi berjaya mencatat hatrik pada separuh masa pertama.

Jaringan pertama Arif Aiman pada minit ke-20 hasil serangan balas Fernando Forestieri bersama pemain sayap JDT itu selepas Fazly Mazlan gagal membaca pergerakan bola.

Pada minit ke-33, Arif Aiman melakukan rembatan deras ke dalam gawang gol Selangor selepas berjaya melepasi beberapa pertahanan The Red Giants.

Sebelum tamat separuh masa kedua, hantaran Forestieri berjaya disempurnakan oleh Arif Aiman sekali gus mencatatkan jaringan hatrik.

Arif Aiman berjaya mencatat hatrik. Facebook/JDT

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama apabila Forestieri berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke- 47 selepas menarik Khuzaimi Piee jatuh sekali gus menyebabkan pemain Selangor tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Perlawanan itu menarik untuk disaksikan apabila buat pertama kalinya Syihan Hazmi terpaksa bekerja keras untuk menjaga gawang golnya.

Selangor juga berjaya mendapatkan lapan sepakan penjuru ke kawasan JDT yang mana Gergasi Merah merupakan pasukan pertama yang melakukannya musim ini.

Walaupun tewas, pemain-pemain Selangor tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan gol sehingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan kekal 4-0 sehingga tamat perlawanan.

Syihan Hazmi

Syihan cemerlang menjaga gawang gol JDT. Facebook/JDT

Kekalahan ke atas JDT itu ternyata membuatkan penyokong-penyokong Selangor kecewa meskipun anak-anak buah Tan Cheng Hoe sudah berhempas pulas.

"Kalau bagi kesebelasan utama, Brendan Gan, Noor Al-Rawabdeh dengan Yohandry Orozco mungkin kita boleh 'beat' JDT," kata Mohd Haizul Azhar.

"Main macam PDRM FC lagi baik defend sesekali counter attack, dah banyak kali kena lauk pun nak main open lagi," ujar Rizwan Ozil.

"Sepatutnya Selangor main bertahan masa separuh pertama, masa separuh kedua baru main high pressing," jelas Syamim Muhammad.

"Penjaga gol itu dah boleh tukar, cuba ambil penjaga gol muda KL City itu," luah Indra Shah.

Dengan keputusan itu, Harimau Selatan bakal bertemu KL City dalam aksi final Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram