Tonggak sayap dari Singapura pernah akui jatuh cinta dengan Terengganu FC


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Faris (kanan) meluangkan dua musim bersama skuad Sang Penyu yang ketika itu di bawah kendalian Nafuzi Zain. — Facebook/Terengganu FC

MASIH ingatkah anda dengan nama pemain sayap lincah, Faris Ramli yang pernah mewarnai arena bola sepak tanah air bersama beberapa pasukan.

Selepas bergelar graduan daripada program pembangunan negara berkenaan, penyerang itu menyertai Young Lions yang merupakan skuad remaja kepada gergasi bola sepak Singapura, Lions XII pada 2012.

Namun, dengan bakatnya mula kelihatan pengendali ketika itu, V Sundramoorthy, Faris terus diletakkan ke dalam pasukan senior untuk musim berikutnya.

Langkah berkenaan jelas memberi satu impak besar terhadap kariernya apabila dia merupakan salah seorang yang menjulang trofi Liga Super dengan Lions XII merupakan pasukan jemputan untuk beberapa musim.

Bagaimanapun, selepas itu, perubahan dari segi taktikal serta barisan kejurulatihan menyaksikan pemain itu berhijrah ke beberapa pasukan di Singapura.

WhatsApp Image 2023-06-27 at 14.14.56

Faris memulakan kariernya bersama kelab Singapura, Lions XII. Agensi

Tetapi, dengan bakatnya sudah semakin menyerlah, Faris kemudiannya disambar kelab Liga Super, PKNS FC pada 2018 dengan dia ketika itu sudah berusia 26 tahun.

Namun, tempoh-tempoh permainannya di Liga Malaysia menemukan kemuncak dua tahun kemudian apabila dia menyertai kelab Pantai Timur, Terengganu FC.

Kehadiran pemain berketinggian 1.68 meter itu sedikit sebanyak memberi bantuan buat jentera serangan skuad Sang Penyu yang dibarisi pemain-pemain berkualiti, seperti Lee Tuck dan Tchetche Kipre.

Meskipun hanya menghabiskan dua musim bersama pasukan itu, hubungan antara Faris dan Terengganu FC dilihat cukup baik, lebih-lebih lagi dengan bekas pengendali mereka, Nafuzi Zain.

Mengimbau kata-kata Faris pada 2020, dia menyamakan saat-saat latihan bersama pasukan itu seakan-akan 'seorang kanak-kanak kecil diberikan gula-gula'.

Faris-Ramli-1200x675

Faris pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Singapura buat beberapa kali sepanjang kariernya. Agensi

Kenyataan itu jelas memberikan gambaran bahawa Faris memiliki sentimen unik dengan kelab berkenaan walaupun pernah meluangkan bertahun-tahun di tanah kelahirannya.

Jelasnya, perasaan berkenaan timbul memandangkan taktikal Nafuzi membolehkan setiap pemain terus berkembang dengan pengendali muda itu kerap memberi penekanan terhadap perkembangan skuad daripada peringkat akar umbi.

Namun, jodoh Faris dengan Terengganu FC tidak berkekalan apabila kedua-dua pihak berpisah pada 2021 dengan tempatnya diisi seorang lagi pemain sayap muda, Faisal Halim.

Kini, penyerang berkenaan masih giat beraksi di peringkat terbaik bersama sebuah lagi kelab Singapura, Tampines Rovers yang disertainya pada awal musim lalu.

Bagi Terengganu FC pula, kehilangan Faris jelas tidak memberi kesan terlalu besar memandangkan Faisal tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram