Solari kagum kesungguhan anak buah, Cheng Hoe masih lihat aspek positif


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Aksi hangat dipamerkan JDT dan Selangor dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) berpeluang mempertahankan gelaran Piala FA yang dijulang musim lalu apabila mara ke peringkat akhir selepas menundukkan Selangor FC.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin, hatrik daripada Arif Aiman Hanapi dan satu gol daripada Fernando Forestieri membolehkan skuad Harimau Selatan menempah tiket ke final dengan keputusan 4-0.

Berkata akan keputusan itu, ketua jurulatih JDT, Esteban Solari berkata, kesungguhan yang dipamerkan anak-anak buahnya merupakan punca atas kemenangan itu.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain saya kerana mereka memberikan usaha yang cukup baik. Untuk menundukkan sebuah pasukan yang bagus, kami perlu memiliki pemain yang hebat.

"Arif menikmati satu perlawanan yang cukup baik, tetapi pasukan secara keseluruhannya mencipta peluang yang amat baik untuknya dan kita boleh menjaringkan lebih banyak gol," katanya kepada Astro Arena.

356356153_2614347868728496_2345507099058256583_n

Arif Aiman (kiri) dan Forestieri menjadi watak penting di sebalik kemaraan JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selepas ini, JDT akan bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC dalam pertembungan akhir Piala FA yang bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 22 Julai.

Skuad Warga Kota menempah tiket ke peringkat berkenaan selepas menyingkirkan Terengganu FC dalam penentuan sepakan penalti pada Ahad.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, perubahan awal yang terpaksa dilakukan terhadap benteng pertahanan menyukarkan usaha mereka untuk beraksi dengan lebih baik.

"Sedikit kesilapan daripada benteng pertahanan dan kita dibolosi dan juga agak sukar untuk kita apabila separuh masa pertama, kita terpaksa menukar Yazan (Al-Arab) dan Fazly Mazlan.

"Itu menyebabkan dari segi pertahanan, kita sedikit tidak tersusun dengan baik," ujar Cheng Hoe.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 55 tahun tersebut menegaskan bahawa masih terdapat beberapa perkara positif yang dapat dilihat selepas penyingkiran itu.

"Memang kita lihat dari sudut positif kita juga mampu mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan yang penting adalah keyakinan daripada setiap pemain untuk mengharungi perlawanan yang akan datang nanti.

"Seperti yang saya beritahu, peluang-peluang yang terhidang di hadapan pintu gol perlu kita manfaatkan untuk dapatkan keyakinan kepada pasukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram