Tiga pemain warisan bukti FAM perlu beri peluang Kobe Jae sarung jersi HM


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Kobe sebelum ini pernah dikaitkan dengan kepulangan ke Malaysia bagi beraksi bersama JDT. — Agensi

DALAM beberapa aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung baru-baru ini, skuad Harimau Malaya berjaya mempertaruhkan beberapa set gandingan pemain tengah yang agak mantap sama ada dari segi bertahan mahupun menyerang.

Antara tetap yang kini mula menjadi pilihan tetap ialah Endrick Dos Santos, Paulo Josue, Lee Tuck, Stuart Wilkin, Brendan Gan, Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih.

Pada masa sama, dengan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dilihat masih belum memuktamadkan senarai skuadnya khususnya dalam menghadapi Piala Asia 2023 yang berbaki tidak kurang tujuh bulan lagi.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu juga masih belum berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan sedia ada dengan beliau dijangka terus mengambil langkah untuk menambah baik barisan pemain bakal dibawa untuk kejohanan tersebut.

Disebabkan itu, terdapat beberapa lagi pemain lain yang masih sedang mengintai peluang untuk dipanggil bagi membuat penampilan bersama skuad kebangsaan.

Antara nama turut disebut-sebut menunjukkan minat tersebut ialah pemain warisan negara, Kobe Jae Chong, 21, yang memiliki pengalaman beraksi di Liga Divisyen Bawahan Liga England.

Untuk rekod, pemain tengah berdarah campuran Malaysia-Jamaica tersebut pernah dikaitkan dengan kepulangan ke tanah air untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Pemain yang pernah membuat aksi bersama Liga Kejuaraan England, Peterborough United itu dikatakan memiliki corak permainan yang mirip tonggak import Harimau Selatan iaitu Leandro Velazquez.

1614265

Kobe ketika beraksi bersama skuad muda kelab Liga Itali, Cagliari. — Agensi

Kobe pernah menyertai akademi West Bromwich Albion pada usia sembilan tahun namun dia digugurkan daripada kelab tersebut selepas gagal menunjukkan surat tunjuk sebab apabila pergi mencuba nasib ke sesi di Portugal bersama Sporting Lisbon, iaitu tempat kelahiran bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.

Dia juga pernah menyertai pasukan skuad muda kelab Serie A, Cagliari dan bermain menentang pemain muda terbaik dari negara tersebut yang beraksi di Juventus, AC Milan dan Inter Milan.

Namun, dengan Kobe dilihat masih belum merasai aksi kompetitif di liga profesional, ramai penyokong bola sepak negara meragui keupayaannya untuk mencapai standard permainan yang diharapkan.

"Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu panggil Kobe Jae yang kini bermain di Liga paling terbawah di England (Non League) untuk mewakili Malaysia?

"Terlalu urgent untuk panggil kerana beraksi di luar? Sepatutnya cari yang 1st grade," tulis OnefootballM.

Namun begitu, ramai berpendapat pemain tengah yang kali terakhir beraksi bersama kelab Nuneaton Borough itu perlu diberikan peluang.

Jelas mereka, beraksi di divisyen bawah Liga England tidak bermakna seseorang pemain itu kurang mampu bersaing bersama pemain di Liga Malaysia (M).

2070483

Kobe (tengah) turut pernah bersama kelab AFC Telford yang beraksi di National League North di England.

Ini kerana sudah terbukti beberapa pemain warisan yang pulang ke Malaysia sebelum ini memiliki tahap permainan mencapai standard diperlukan untuk menyarung jersi kebangsaan meskipun sebelum itu hanya beraksi di luar liga profesional di negara tersebut.

"Pemain seperti Darren Lok, Daniel Ting, Junior Eldstal pun sebelum main Malaysia, main liga bukan profesional. Tapi kualiti mereka dah tahap pemain kebangsaan. Kobe okey lagi sebab pernah juga main dengan kelab profesional di England," kata DhiaPuteraa.

"Panggil sahaja cuba. Main divisyen bawah tak semestinya tak bagus. Kalau tak okey boleh sahaja gugurkan. Lagipun umur dia muda lagi. Tak rugi pun," ujar MohamadHazwanB2.

Darren, Daniel dan Junior masing-masing mendapat panggilan untuk berlatih bersama pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 pada bulan ini.

Sebelum pulang ke Malaysia pada 2016, Darren, 31, beraksi secara sambilan di liga separa profesional bermula pada 2013 bersama kelab Eastbourne Borough.

Manakala Daniel pernah beraksi di divisyen kelapan England, Droyslden sementara Junior pula bersama Slimbridge FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram