PASUKAN Kuala Lumpur City FC (KL City FC) memulakan kempen Liga Super 2023 dengan prestasi yang kurang cemerlang apabila gagal meraih sebarang kemenangan dan sekadar seri dalam beberapa perlawanan pusingan pertama liga.
Namun, kemelut itu berakhir selepas The City Boys menerima kunjungan daripada pasukan Sabah FC pada perlawanan yang ketujuh pusingan pertama liga, April lalu yang merupakan kemenangan pertama skuad Warga Kota itu di laman sendiri.
Dalam pada itu, kemenangan pertama tersebut merupakan suntikan kepada barisan pemain The City Boys yang terus garang dalam menginginkan mata penuh dalam setiap perlawanan.
Aksi The City Boys cuba mengawal ketat pemain Sang Penyu, Sony Norde.
Bukan sahaja cemerlang dalam saingan Liga Super, namun, juara Piala Malaysia 2021 itu menunjukkan taring dalam aksi Piala FA 2023 yang mana menewaskan pasukan Terengganu FC (TFC) menerusi sepakan penalti dengan keputusan 4-2 pada Ahad.
Oleh itu, ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mendapat perhatian penyokong bola sepak tanah air yang mana berasa kagum dengan peningkatan yang ditampilkan olehnya sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook milik Don K-Rul Izham, pemerhati sukan itu mengatakan bahawa, kehebatan pengendali The City Boys tidak dapat dinafikan apabila perlahan-lahan memberikan tekanan dan saingan kepada pihak lawan.
"Walau pasukan mana pun kita menyokong, kita tidak boleh nafikan kehebatan Bojan Hodak ini.
"Dengan pengalaman luas dalam budaya bola sepak Malaysia, dia memiliki kepakaran tersendiri," katanya.
Selain itu, pemilik akaun itu turut mengatakan pencapaian yang pernah dijulang oleh pengendali kelahiran Croatia tersebut dalam Liga M.
"Final Piala Malaysia, Final Piala AFC dan Final Piala FA, ini pencapaian dia dengan Kuala Lumpur City tidak termasuk era gemilang dengan TRW FC dan JDT.
"Bojan juga 1 daripada 3 pengurus yang berjaya menjulang gelaran treble dalam Malaysia. Tiada perkataan lain untuk Bojan. Respect," kongsinya.
Menjengah ruangan komen, terdapat juga beberapa penyokong yang menyamakan Bojan seperti jurulatih Roma, Jose Mourinho.
"Mourinho Malaysia," kata Ging Heheh.
"Macam Mourinho dan Unai pula dia ini, Mr final game," kata Johaizal Johari.
Untuk rekod, di bawah kendalian Bojan, KL City FC berjaya mara ke final Piala Malaysia 2021, ke pentas final Piala AFC 2022 dan final Piala FA 2023.
The City Boys menghuni tangga keenam dalam carta Liga Super 2023 dengan mengutip 23 mata sepanjang 14 perlawanan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram