NASIB malang yang sentiasa menimpa Kelantan FC nampaknya belum berkesudahan apabila terus tewas di tangan pasukan Sri Pahang FC dengan keputusan 0-5 dalam saingan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat lalu.
Bukan itu sahaja, skuad Kelantan FC terus dibelenggu dengan masalah dalaman yang terpaksa dihadapi oleh barisan pemain dan pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) itu sendiri.
Pada masa sama, ramai juga yang mempertikaikan tindakan pihak pengurusan TRW yang sering menukar jurulatih baharu berikutan kekalahan yang menjadi mimpi buruk pasukan itu.
Tangkap layar memaparkan hantaran tersebut. — Instagram/ shekoo1989
Terdahulu, pihak pengurusan TRW mengambil keputusan untuk memecat Choi Moon-sik sebagai ketua jurulatih skuad tersebut selepas gagal membawa peningkatan dalam skuad itu pada awal musim liga berlangsung dan digantikan dengan Frank Bernhardt.
Sebelum Frank Bernhardt mengambil alih tugas sebagai pengendali Kelantan FC, jurulatih kelahiran Jerman itu diberi peranan sebagai Pengarah Teknikal TRW.
Namun, masalah yang sama turut berlaku di bawah kendalian Frank Bernhardt apabila gagal membawa sebarang kemenangan kepada skuad tersebut dan sering menjadi pasukan belasahan.
Oleh itu, apabila pihak pengurusan pasukan Pantai Timur itu menamatkan kontrak Frank Bernhardt secara rasmi sebagai ketua jurulatih Kelantan FC, sekali gus menyebabkan ejen bola sepak, Sherif Ahmed Mostafa membuka mulut mengenai pengendali Jerman itu.
Untuk rekod, Sherif Ahmed merupakan ejen Bernhardt yang dilantik bagi menggantikan posisi Moon-sik.
Menerusi laman Insta Story miliknya, Sherif Ahmed meluahkan rasa sedihnya apabila bekas jurulatih TRW itu ditamatkan kontrak.
"Saya kasihan dengannya, dia (Bernhardt) datang ke Kelantan FC ketika berada dalam keadaan yang sukar dan belum mencapai sebarang kejayaan," katanya.
Rentetan pemecatan tersebut, pihak pengurusan Kelantan FC mengumumkan pelantikan jurulatih baharu kelahiran Argentina, Alfredo Angel Vera bagi menggantikan Frank Bernhardt untuk mengemudi TRW.
Sebagai maklumat tambahan, Vera pernah memenangi kejohanan divisyen kedua Liga Indonesia bersama Persebaya Surabaya pada musim 2016/17. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram