Lim Teong Kim tuntut Perak FC selesaikan baki bayaran gaji


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Teong Kim diwakili peguamnya, Adam Yap ketika hadir untuk memfailkan tuntutan terhadap kelab Utara tanah air itu. —  Foto FlashSukan

KEPUTUSAN Perak FC untuk menggugurkan ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Lim Teong Kim daripada tugasnya pada 25 Mei lalu menyebabkan perdebatan hangat dalam dunia bola sepak tempatan.

Perkara itu difahamkan berpunca daripada kegagalan pengendali kelahiran Melaka tersebut untuk membawa skuad The Bos Gaurus (TBG) kembali sebagai salah sebuah pasukan gergasi tanah air.

Tindakan terbabit juga mengakibatkan rasa kurang senang daripada penyokong kelab Utara tanah air itu kerana mereka berpendapat taktikal yang diterapkan Teong Kim mula membuahkan hasil.

Kini, dengan sudah kira-kira sebulan sejak dia direhatkan, skuad TBG dikendalikan bekas pengendali, Yusri Che Lah yang sebelum ini membimbing skuad Bawah 23 (B-23) Perak FC.

Namun, saga antara Teong Kim dan kelab itu masih tidak terhenti apabila dia sekali lagi menjadi tumpuan arena bola sepak tanah air.

Dia yang diwakili peguam, Adam Yap tiba di Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak, Ipoh menjelaskan bahawa satu tuntutan sedang dibuat terhadap Perak FC.

Menurut Teong Kim, kes itu dibawa bagi menuntut bayaran gaji dalam kontrak yang sepatutnya berbaki 24 bulan lagi sebelum dia direhatkan.

kama

Teong Kim gagal memberi impak positif buat skuad TBG musim ini. Facebook/Perak FC

"Ini adalah borang representasi yang sudah difailkan kepada jabatan ini pada pagi ini (Selasa)," kata Adam Yap.

Sementara itu, Teong Kim menjelaskan bahawa aduan yang dilakukan hanya bertujuan untuk menuntut haknya dan bukanlah mahu mencalarkan air muka sesiapa.

“Ini hak saya. Seperti yang peguam saya katakan saya hanya tuntut hak saya sahaja. Tak lebih tak kurang. Saya datang ke Perak dengan hati yang baik, jadi saya nak keluar pun dengan hati yang baik juga. Itu sahaja,” katanya.

Berdasarkan laporan, kes berkenaan diletakkan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang mengatakan keputusan untuk menggugurkannya tidak sah.

Sebelum ini, Teong Kim dibawa masuk berikutan kejayaan skuad TBG untuk menyertai Liga Super meskipun menghabiskan musim lalu sebagai pasukan kedua tercorot Liga Perdana.

Namun, sepanjang berada di bawah kendaliannya, Perak FC hanya merekodkan dua kemenangan di samping sembilan mata yang dibawa pulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram